Memasuki edisi kedua penganjurannya, majlis kali ini nampak lebih meriah dengan kehadiran penonton terutamanya kelab peminat. Keadaan ini membuktikan AME 2015 berjaya mencuri tumpuan ramai berbanding penganjuran kali pertamanya tahun lalu yang begitu hambar.

Dengan tema Yang Hit, Yang Legend acara yang memberikan sebanyak 18 anugerah ini sememangnya meninggalkan banyak kenangan manis buat para pemenang.

Pastinya kejayaan besar menjadi milik pelawak, pengacara dan pelakon Johan apabila dia menggondol empat anugerah seperti Artis Lawak MeleTop dan Penyampai Radio MeleTop.

Johan, menerusi gandingannya bersama Ray dan Haniff mengendalikan segmen Johara Pagi Era turut memberi kemenangan kepada mereka dalam kategori Program Radio MeleTop.

Keupayaan Johan menang dalam semua kategori yang menyenaraikan dirinya sebagai calon juga membolehkan dia membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi apabila diberi anugerah Top Top MeleTop (Lelaki). Kemenangan itu terus membuktikan diri Johan hebat di mata peminat apabila dia menewaskan pencabar terdekat seperti Zizan Razak, Datuk AC Mizal dan Zul Ariffin.

“Kemenangan besar saya malam ini disebabkan peminat. Tanpa sokongan padu daripada mereka (peminat), tidak mungkin saya akan menang.

“Ini juga hasil usaha saya yang sentiasa mendekatkan diri dengan peminat. Saya cuba rapat dengan peminat dan tidak pernah menidakkan kehadiran mereka,” kata Johan atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, 31, setelah selesai acara itu berlangsung.

Mengukuhkan kedudukannya sebagai selebriti berpengaruh, Johan berkata, dia sebenarnya menumpang rezeki daripada keluarganya terutama isteri dan anak-anak.

“Isteri (pelakon Ozlynn Watie) sebenarnya adalah orang yang paling berhak menerima kesemua anugerah yang saya menang ini.

“Dia bertindak sebagai pemerhati diri saya dalam industri ini. Apa sahaja kelemahan diri saya, dia pasti menegur. Sebab itu, saya ambil semua teguran itu dan cuba memperbaiki diri. Akhirnya, saya peroleh kemenangan. Bila dah menang, jangan pula kata saya hendak tunjuk hebat. Saya masih ada benda untuk ditingkatkan.

“Bagi saya, setiap manusia tidak boleh menilai dirinya sendiri. Kita perlu ada seseorang untuk berada di sisi terutama memberi nasihat dan tunjuk ajar. Ini rezeki isteri dan anak-anak saya,” ujarnya.

Tidak pernah memasang impian untuk bergelar sang juara, Johan memberitahu, dia hanya menaruh harapan dalam kategori Penyampai Radio MeleTop.

“Itu sahaja kategori yang memungkinkan saya menang pada awalnya. Sebab ada orang kata penyampaian saya semakin baik.

“Apabila sudah ada yang berkata sebegitu, saya semakin yakin mereka akan memberi kemenangan kepada saya memandangkan keputusan semuanya berdasarkan kepada peminat.

“Ternyata malam ini bukti peminat bersama saya itu benar,” jelasnya yang berjaya menewaskan Haniff, Feeya Iskandar, Ray dan Raja Azura dalam kategori tersebut.

Guna medium sosial

TERIMA kasih adalah sebuah ucapan yang sangat bermakna buat diri Datuk Siti Nurhaliza kepada peminatnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh adalah atas usaha peminatnya. Tetap dengan pendirian, peminat adalah segala-galanya, Siti memilih untuk sentiasa bersama peminatnya.

“Kejayaan yang kita peroleh sebenarnya banyak disumbang oleh peminat. Terima kasih kepada peminat saya. Usaha yang mereka lakukan ternyata membuahkan hasil.

“Apabila saya menang, ini membuktikan peminat menerima saya. Tapi, jika saya kalah sekalipun, saya tidak akan pernah berhenti berusaha,” katanya.

Berkongsi cara dia bersama peminat, Siti memberitahu, medium media sosial adalah contohnya.

“Kini, semua orang ada Facebook, Instagram dan Twitter. Macam saya sendiri, setiap apa yang dilakukan akan dimuat naik dalam media sosial yang saya ada.

“Dengan cara itu, peminat akan mengetahui kegiatan kita sebagai selebirit. Bagi saya, itu cara penghargaan yang saya buat untuk peminat,” katanya yang memenangai anugerah Penyanyi MeleTop dan Bintang Online MeleTop dalam AME 2015.

Berbalik soal peribadi, Siti yang dilaporkan sebagai wanita terkaya baru-baru ini masih terkejut dengan kenyataan itu.

“Tidak tahu bagaimana cara orang yangg terbabit menilai perkara itu, saya sebenarnya setiap hari berdoa menjadi wanita terkaya (gelak).

“Jujur, saya belum sampai ke tahap yang dinyatakan tetapi masih berusaha untuk mencapainya.

“Laporan itu sememangnya memberi kesan kepada diri terutama dari segi keselamatan dan sebagainya. Tapi, tidak mengapa, kerana peminat kenal kerja saya. Setiap kali persembahan, saya pasti ada peneman,” jelasnya.

Bagaikan keluarga

Menang dalam dua kategori, Ayda Jebat, 23, boleh dikatakan antara pelakon baharu yang sungguh bertuah.

Mengulangi kejayaan Zara Zya yang turut memperoleh kejayaan sama tahun lalu, Ayda berkata, semua ini kerana usaha para peminatnya.

“Peminat dengan saya bagaikan keluarga. Saya memang akan bersama mereka jika kelapangan dan bersyukur kerana diterima oleh peminat.

“Kemenangan ini saya anggap satu penghargaan kepada saya untuk terus berusaha keras dan memberi yang terbaik kepada peminat.

“Saya rasa teruja dan sangat gembira dengan kemenangan meraih dua Anugerah MeleTop ini. Tidak sangka kali pertama dicalonkan, saya sudah dinobatkan sebagai pemenang,” kata Ayda yang sudah lima tahun bergelar anak seni.

Pada majlis anugerah itu, Ayda berjaya menewaskan Firman, Aman, Atikah Suhaimie dan Amyra Rosli bagi kategori Artis Baharu MeleTop. Kejayaan itu diiringi lagi dengan kemenangan dalam kategori Top Top MeleTop (Wanita). Keunggulannya memang tidak pernah disangka apabila terpaksa bersaing dengan Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat tiga pencalonan dan Nelydia Senrose dengan dua pencalonan.

Mempunyai kelab peminat yang diberi nama AJ Screamer, Ayda berkata, faktor kemenangannya juga disebabkan drama Rindu Awak 200% yang bergandingan dengan Zul Ariffin.

“Alhamdulillah, saya berasa amat bertuah apabila drama tersebut memberi impak kepada masyarakat sekali gus melonjakkan nama saya.

“Apa yang saya sampaikan dalam lakonan diterima oleh penonton. Apa-apa pun setakat ini saya masih mendapat tawaran dan akan berlakon dalam dua cerita adaptasi novel berjudul Suami Sebelah Rumah dan Isteri Separuh Masa.

“Bersyukur rezeki saya setakat ini dalam bidang lakonan amat memberangsangkan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan mutu lakonan.

“Saya tidak mahu penonton mengenali saya sebagai artis yang bermusim dan popular melalui satu drama sahaja,” katanya.

SENARAI PEMENANG AME 2015

  • Top Top MeleTop Lelaki


            Johan

  • Top Top MeleTop Wanita

            
Ayda Jebat

  • Anugerah Fesyen MeleTop 

            
Nur Fazura

  • Artis Baharu MeleTop

            
Ayda Jebat

  • Bintang Online MeleTop

            
Datuk Siti Nurhaliza

  • Anugerah Couple MeleTop

            
Scha Al Yahya & Awal Ashaari

  • Program Radio MeleTop


            Johara Pagi Era

  • Grup/Duo MeleTop

            
Akim & The Majistret

  • Penyanyi MeleTop


            Datuk Siti Nurhaliza

  • Lagu MeleTop

            
Mewangi (Akim & The Majistret)

  • Program TV MeleTop

            
Maharaja Lawak Mega 2013

  • Drama TV MeleTop

            
Bukan Kerana Aku Tak Cinta

  • Hos TV MeleTop


            Datuk AC Mizal

  • Artis Lawak MeleTop


            Johan

  • Pelakon TV MeleTop


            Zul Ariffin

  • Bintang Filem MeleTop

            Nelydia Senrose

  • Filem MeleTop


            Abang Long Fadil

  • Penyampai Radio MeleTop

            
Johan