Menurut aktor tersohor itu, apabila memilih untuk menamatkan zaman duda, beliau mengakui perasaan suka, sedih, sayu dan gementar bermain-main di kotak fikirannya.

Namun begitu, apa yang sedang dirasakan itu bukanlah bermakna beliau tersilap membuat keputusan, sebaliknya, Jalaluddin menyedari lelaki lain sepertinya juga tentu sekali akan melalui pengalaman yang serupa.

Dalam masa yang sama, Jalaluddin akan sentiasa mengingatkan dirinya agar jangan sesekali membuat perbandingan atau perbezaan karakter bakal isterinya, Rapidah dengan isteri pertama beliau, Allahyarham Datin Hashimah Aksan.

“Sejujurnya, perkara itu yang akan sentiasa saya ingatkan pada diri saya. Allahyarham Hashimah memiliki karakter beliau yang tersendiri dan tentu sekali Rapidah yang akan saya nikahi juga memiliki karakternya yang tersendiri.

“Insya-Allah saya akan memelihara prinsip ini kerana sebagai suami saya harus menjadi ketua yang adil dan memberi kebahagiaan pada rumah tangga,” ujar pelakon itu kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Jalaluddin, 63, yang juga anak kepada tokoh pengajian Al-Quran iaitu Tan Sri Hassan Azhari akan melangsungkan pernikahan buat kali kedua dengan Rapidah, 45, di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, di sini.

Pada 5 November tahun lalu, Jalaluddin kehilangan isterinya, Hashimah yang meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan jantung.

Pasangan Jalaluddin dan Hashimah dikurniakan lapan cahaya mata semenjak mendirikan rumah tangga pada awal 1980-an.

Jalaluddin yang sinonim dengan program kuiz Who Wants To Be A Millionaire? itu juga mengakui, beliau risau seandainya gagal mengawal emosi sewaktu majlis akad nikah pada hari Ahad ini.

“Maklum saja, saya dan isteri bercerai mati lalu perasaan untuk berkahwin lain itu lambat tiba. Walaupun telah mendapat persetujuan daripada anak-anak dan keluarga, saya masih risau jika gagal mengawal perasaan dan menangis pada hari pernikahan,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis akad nikah itu, Jalaluddin bakal menghadiahkan Rapidah lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut bernilai RM20,000 berbalas tujuh dulang hantaran daripada pihak perempuan.

“Saya ikhlas untuk kembali mendirikan rumah tangga. Saya mohon peminat-peminat mendoakan majlis pernikahan saya berjalan lancar,” katanya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE