Menurut rakan pelakon yang turut membintangi drama popular terbitan Skop Productions itu, Sheera Iskandar, arwah terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, dekat sini seminggu lalu.

“Difahamkan, arwah menghidapi masalah buah pinggang. Saya dimaklumkan mengenai keadaannya itu oleh rakan-rakan pelakon Gerak Khas yang menzia­rahinya di hospital ber­kenaan pada minggu lalu.

“Hari ini, menerusi aplikasi­ Whats­App, saya mendapat per­khabaran mengenai pemergiannya,” katanya yang berasa terkilan kerana tidak sempat melawat Nizen.

Bagaimanapun Sheera menambah, dia tidak tahu sejak bila Nizen dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

Terdahulu, pada penghujung tahun lalu, Nizen pernah me­ngadu kesihatan dirinya merosot akibat terkena sihir yang menjadi punca kelibatnya tidak lagi kelihatan dalam drama popular tersebut disiarkan di TV2 itu.

Nizen mula membintangi dra­ma itu sejak enam tahun lalu sebaik menamatkan saingan pentas akhir program realiti Pilih Kasih musim ketiga dan bakat lakonannya dicungkil oleh pelakon handalan, Datuk Rosyam Noor serta mendapat bimbingan dramatis terkenal, Fauziah Nawi.