Menyentuh tentang kontroversi terbaharunya, bergambar dalam keadaan cukup mesra dengan teman wanita terkini, Bella Astilla, Aliff nyata tidak mengambil sikap ‘baling batu sembunyi tangan’. Dia berani berdepan dan bercerita kepada media yang bertanya.

“Ya, itu gambar saya dengan teman istimewa saya, Bella. Tetapi gambar itu bukanlah seperti yang dianggap orang. Hanya gambar mesra kami, hanya untuk suka-suka sahaja. Tidak ada pun istilah kami berciuman mesra, walaupun dalam gambar itu, kami duduk agak rapat.

“Jangan anggap di luar pun kami terlebih mesra sebegitu. Saya percaya, orang lain pun ada bergambar mesra dengan kawan baik mereka, masing-masing ada cara tersendiri dalam memaknakan persahabatan yang terjalin,” katanya kepada Hits ketika ditemui dalam majlis ulangtahun UO Superstore ke-23 dan Pertunjukan Fesyen Fuyo Kids di Plaza Angsana, Johor Bharu.

Di majlis tersebut, Aliff menghiburkan pengunjung dan peminat di selatan tanahair, termasuk Presiden UO, Datuk Zahari Omar dan Pengarah UO, Datin Rahimah Daud, dengan rangkaian lagu-lagu popularnya,

Pelbagai koleksi menarik pakaian hari raya untuk kanak-kanak dan dewasa daripada UO turut dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir dalam majlis selama hampir tiga jam itu.

Bercakap soal cinta pula, kata Aliff, dia mengenali sang kekasih sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, kehadiran Bella pada ketika itu tidak lebih hanya sekadar biasa-biasa sahaja, tidak menjadi rapat. Selepas itu, lama mereka tidak berhubungan, sehinggalah di majlis Anugerah Industri Muzik 2014 mempertemukan mereka semula secara kebetulan.

“Masa jumpa semula, kami masing-masing solo dan banyak bersembang sahaja. Kemudian kami bertambah rapat dan sehingga kepada pengetahuan keluarga. Kehadiran Bella perlu diberi kredit untuk perubahan diri saya ketika ini kerana dia banyak memberi dorongan. Hadirnya dia saya anggap sebagai salah satu bantuan daripada Tuhan untuk ubah fasa hidup ini.

“Allah temukan dengan seorang yang sangat berbeza daripada teman-teman saya sebelum ini. Bella matang dan banyak mendengar. Dia juga banyak mengajar saya benda-benda positif yang pada akhirnya saya jadi malu jika tak buat.

“Saya sudah kenal seluruh keluarga dia dan dengan mereka banyak benda baik dipelajari untuk menjadikan hidup saya juga lebih baik,” katanya.

Bella sangat lain daripada mana-mana wanita yang pernah dia kenal. Utamakan kerjaya, selalu ingatkan Aliff tentang keluarga, Bella seorang yang mengambil berat dan selalu ingatkan lelaki ini akan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Sudah mengenai seluruh ahli keluarga wanita itu, hubungan mereka ketika ini masuk ke fasa yang cukup selesa untuk bergerak dan maju ke hadapan. Apa yang penting juga, keluarga Bella turut menerima kehadiran Aliff dengan penuh sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Emak dan bapa Bella juga sudah menganggap saya sebagai anak mereka sendiri. Mereka sangat jujur menerima saya. Sokongan yang mereka berikan buat saya menjadikan hidup saya lebih indah,” katanya, memberi kredit kepada keluarga sang kekasih.

Kisah kelahiran semula

Sementara itu, bercakap tentang produk terbaharu, Aliff akan muncul dengan album berjudul Rebirth yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Album yang boleh dianggap sebagai ‘kelahiran semula’ ini adalah perlambangan betapa beruntungnya artis yang seorang ini, memandangkan terus diberi peluang untuk muncul dengan sebuah album penuh dalam keadaan industri hiburan semakin tenat.

“Ini album keempat dan sejujurnya, saya berasa begitu beruntung. Ini kerana peluang untuk saya muncul dengan album penuh terus diberikan oleh syarikat rakaman, Sony Music. Dalam apa juga keadaan, Sony terus menyokong dan bersama-sama dengan diri ini, sesuatu yang saya sangat perlu untuk berterima kasih.

“Macam yang diberitahu sebelum ini, saya banyak buat silap. Dalam hidup ini, macam-macam yang telah saya lalu, bagaimanapun Sony Music tetap menerima saya sebagai ahli keluarga mereka.

“Sememangnya saya banyak terhutang budi kepada mereka yang sudah menganggap diri ini sebagai ahli keluarga sendiri. Jadi, cara mereka melayan saya juga seperti keluarga, ketika perlu dimarah, saya pun akan kena marah dan itu cara kami bekerjasama,” katanya.

Barangkali hal ini sudah banyak kali Aliff bercakap, mahu berubah dan terus berubah. Bagaimanapun, sehingga kini, ia belum benar-benar menjadi kenyataan memandangkan saban tahun, ada sahaja kontroversi dicipta yang memeningkan kepala peminat dan pemujanya termasuklah syarikat rakaman sendiri.

Mengakui keadaan itu, Aliff sedar akan kekurangan dirinya dan kali ini dia benar-benar bermaksud untuk berubah.

“Sedar juga, sudah banyak kali saya langgar janji sendiri. Cuma, kali ini, usia sudah masuk 24 tahun, semakin dewasa dan saya tahu apa yang dipercakapkan. Kali ini saya cukup serius untuk berubah. Perubahan ini datang secara dalaman, bukan hanya di bibir sahaja. Saya tidak punya alasan lagi untuk tidak berubah.

“Orang akan cakap kenyataan saya klise, tetapi dalam hidup memang semua orang buat banyak silap. Saya sangat sedar yang saya perlu terus menghargai insan-insan kesayangan dalam hidup ini. Saya perlu jaga hati mereka yang selama ini saya kecewakan. Tidak boleh kembali kepada kehidupan masa lalu kerana saya bukan lagi Aliff yang berusia 16 tahun, macam masa mula-mula menyanyi dahulu,” kata penyanyi Jangan Ganggu Pacarku.

Percaya, orang akan terus memberikan kritikan terhadap dirinya walaupun sesudah melafazkan janji untuk berubah, pada Aliff itu adalah ‘natijah’ yang perlu diterimanya.

“Biasalah, bila kita nak berubah ke fasa yang lebih baik, orang akan curiga, orang akan kritik. Pada saya okey sahaja, sebab itu hak mereka juga. Untuk diri saya, bila kita betul-betul ikhlas, lambat laun, orang akan nampak juga,” katanya, positif.