Kebanyakan masyarakat AS dan beberapa negara lain lebih suka memilih cerita yang mahu ditonton daripada terus melihat produk percuma yang disajikan oleh kebanyakan stesen TV.

Namun perkara itu berhubung kait dengan kemajuan teknologi dan kepentingan Internet yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden hari ini.

Mengambil kira beberapa faktor, pastinya ada sesuatu yang cuba diambil oleh pembikin filem tempatan yang sama-sama menggerakkan kecanggihan teknologi untuk melakukan perkara yang sama.

Antara gerakan yang dibuat termasuk menerbitkan filem pendek yang hanya akan ditayangkan di laman YouTube semata-mata.

Bagi Penerbit Rumah Films, Razaisyam Rashid pastinya ada sesuatu yang menarik sudah diatur untuk sama-sama menggunakan Internet bagi membantu industri filem tempatan agar kekal berdaya saing.

Menyifatkan pembikin filem perlu menggunakan segenap ruang yang ada, Razaisyam berharap tiga filem pendek yang bakal ditayangkan tidak lama lagi membuka dimensi baharu kepada industri filem tempatan secara keseluruhannya.

“Jika kita lihat kebanyakan pembikin filem sudah memikirkan alternatif lain untuk memasarkan produk mereka. Menerbitkan filem bukan lagi jaminan akan gah seperti dahulu.

“Sebab itu kebanyakan pembikin filem cuba memanipulasi Internet yang dilihat semakin penting kepada ahli masyarakat. Jika di negara maju perkara ini bukan lagi sesuatu yang baharu.

“Tetapi di sini kita masih lagi mencuba untuk cuba ‘menggali’ perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menaikkan semula industri filem tempatan,” ujar pengarah filem CEO ini lagi.

Bagi Razaisyam, percaturan untuk menerbitkan tiga filem pendek di bawah Projek Citer Kite mendapat sambutan daripada tiga syarikat penerbitan buku alternatif.

Cili, Celupar dan Nadia yang juga merupakan cerpen yang pernah diterbitkan oleh syarikat buku Fixi, Lejen Press dan Dubook Press bakal dijadikan filem pendek berdurasi 20 minit setiap satu.

Selaku penerbit, Razaisyam menaruh kepercayaan ketiga-tiga filem pendek ini bakal memberikan sesuatu yang baharu apatah lagi akan ditayangkan sempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

“Menariknya kita memilih tiga pengarah muda yang berbakat besar. Mereka mungkin kurang pengalaman tetapi kaya dengan idea segar yang belum diterokai.

“Sebagai penerbit, saya berharap idea ini akan memberikan dimensi baharu untuk kita meneroka pasaran di Internet selepas ini,” jelasnya.

Bercerita mengenai pra produksi pula, Razaisyam menegaskan mereka mengadun setiap filem dengan bajet yang terhad tetapi menitik beratkan soal kualiti.

Paling tidak, segala kelengkapan seperti kamera, penataan cahaya dan bunyi menggunakan peralatan standard untuk menghasilkan sesebuah filem cereka.

“Kita berterima kasih kerana kru dan pelakon yang dipilih faham tentang kekangan bajet yang kita hadapi. Filem pendek ini langsung tidak menyasarkan keuntungan sebaliknya lebih kepada kelangsungan industri secara keseluruhan.

“Walaupun bajet terhad, soal kualiti tidak dipandang sebelah mata. Kita tidak berkompromi dengan perkara tersebut,” ungkapnya yang bekerjasama dengan pengarah Nik Amir Mustapha bagi projek ini.

Filem Pendek 
yang dihasilkan

Cili

Adaptasi daripada buku Cerpen Nadia Khan

Pelakon: Azman Hassan dan Sheila Mambo

Pengarah. Edward Chee Boon

Pak Rabu mempunyai gerai nasi lemak. Gerainya itu popular dalam kalangan orang kampungnya kerana Pak Rabu sangat menitik beratkan kualiti dalam setiap ramuan yang digunakan. Satu hari cili yang diperlukan untuk memasak sambal nasi lemak telah kehabisan. Lalu bermula pengembaraan Pak Rabu mencari cili. Dari satu pekan ke satu pekan mencari cili itu, Pak Rabu terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk mendapatkan ramuan untuk sambal nasi lemaknya itu.

Celupar 
adaptasi dari buku

Dabel Date

Pengarah: Junad M. Nor

Pelakon: Amerul Affendi dan Liyana Jasmay

Mengisahkan tentang seorang bakal ayah, Rashid yang tidak percaya bahawa isterinya yang sedang mengandungkan anak pertama mengidamkan televisyen (TV) LED 50 inci. Rashid keliru dengan permintaan isterinya. Semakin hari semakin teruk isterinya memberontak. Rashid pelik kerana kebiasaannya orang mengidam hendak makan bukan meminta peti TV. Rashid tak mampu menunaikan permintaan isterinya sehinggalah menyebabkan pelbagai huru hara dilakukan oleh isterinya itu.

Nadia

Adaptasi dari buku #CeritaSeram

Pengarah: Muzammer Rahman

Pelakon: Beto Kusyairy, Azhan Rani, Sara Ali, Jay Izwazir dan Zaidi Omar

Jarr memiliki kebolehan untuk melihat alam lain. Dia ibarat seperti seorang penyiasat. Sehinggalah suatu hari dia mendapat tahu Hisham, kawan baiknya masih tinggal dengan Nadia. Nadia adalah isteri Hisham yang telah meninggal dunia setahun yang lalu. Jarr berusaha meyakinkan Hisham bahawa Nadia telah ‘pergi’. Bagaimanapun Hisham tidak percaya sebaliknya menganggap Jarr telah mengkhianati persahabatan mereka. Jarr pula berada dalam kemelut di antara Hisham dan hantu Nadia.