“Sebelum ini memang saya akan luangkan masa untuk menerima satu atau dua tawaran untuk berlakon teater pada setiap tahun. Saya akan berehat daripada lakonan untuk beri fokus teater dan selalunya saya terlibat di pentas teater yang berskala lebih kecil seperti di KL Pax, serta Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” jelasnya.

Menyifatkan apa yang berlaku ini sebagai satu tindakan drastik, dia sedar mengarah sebuah teater di pentas besar Istana Budaya bukanlah sesuatu yang mudah.

Biarpun sudah saban tahun terlibat dan arif dengan permainan teater, rasa gugup untuk membikin teater sendiri menyelubungi perasaannya.

Disebabkan itu juga dia cuba bekerjasama dengan syarikat Datuk Hans Isaac, Tall Order Sdn. Bhd. untuk membantu menjayakan naskhah teater ini.

“Hans mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam menerbitkan sebuah teater dan pengalaman itu akan membantu saya untuk teater ini. Lagipun, dia individu yang paling kuat memberi semangat kepada saya untuk tampil dengan teater ini pada awalnya sehinggalah kini,” ujarnya.

Teater muzikal Mencari Sumaiyah bakal dipentaskan bermula 8 hingga 14 Ogos ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selain Dira, Hans Isaac turut berperanan selaku Pengarah Kreatif dalam karya skrip hasil idea Junad M.Nor.

Barisan artis yang terlibat dalam teater muzikal ini pula terdiri daripada Afdlin Shauki, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad, Nadia Aqilah, Ruzana Ibrahim dan Aisya Hasnaa.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan teater ini, jelas Dira, ia berkisar mengenai kisah wanita yang menampilkan nilai-nilai persahabatan, perpaduan dan kegigihan dalam kalangan wanita.

“Memang saya hendak tampilkan kekuatan seorang wanita dalam teater ini dan tidak mahu penonton melihat wanita sebagai seorang insan yang lemah.

“Menerusi teater ini, saya bangkitkan kekuatan wanita supaya dapat dijadikan inspirasi untuk golongan ini bangkit dan memajukan diri mereka sendiri,” jelasnya.

Mencari Sumaiyah mengisahkan tentang empat orang tukang jahit, Zaitun, Faridah, Mariam dan Salmi dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar tukang jahit terkemuka.

Nilai persahabatan mereka teruji dalam usaha mereka untuk mengejar impian dan perjalanan mereka untuk mencari Sumaiyah.

Tiket-tiket dijual bermula RM40 hingga RM150 boleh didapati menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau anda boleh hubungi talian 03-40265558 untuk maklumat lanjut.

Gambar HALIM KHALID