Kepada Utusan Online, anak kelahiran Ipoh, Perak itu menegaskan, hubungannya dengan primadona tersebut masih berada dalam keadaan baik.

“Saya sudah pun membuat penjelasan kepada Erra mengenai kontroversi yang melanda berhubung salah faham yang berlaku. Saya juga tidak ada kena mengena dengan Mona.

“Ini semua adalah asam garam bergelar anak seni. Diharap Erra memahami situasi ini memandangkan dia juga selebriti,” jawabnya usai tamat pentas akhir AF Megastar yang berlangsung malam Ahad lalu.

Tambah penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, perkahwinan yang sudah dirancangkan pada tahun hadapan tetap akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut mengenai keputusan awalnya untuk menarik diri daripada program realiti berkenaan, Shahir berkata, selepas mendapat nasihat daripada beberapa orang berpengalaman, dia sedar itu bukanlah tindakan yang bijak.

“Saya sedar, menarik diri akan menimbulkan lebih banyak masalah terutama kepada produksi AF Megastar. Bahkan, saya juga akan mengecewakan peminat sedangkan tujuan asal adalah untuk membuat comeback.

“Sebenarnya keputusan tersebut adalah untuk menunjukkan saya bukanlah jenis artis yang mengejar dunia glamor atau mahu meraih populariti.

“Memang itu semua asam garam tetapi apabila orang bercakap sesuatu yang negatif pasal kita, tidak semua boleh dipekakkan begitu sahaja,” tambahnya.

Pun begitu, jelas Shahir, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Mona atas sebarang dakwaan yang telah dilakukan oleh wanita tersebut.

Dia juga berjanji kepada peminat untuk terus berada dalam industri dan tidak akan menghilangkan diri. - UTUSAN ONLINE