Istimewanya sekolah yang menempatkan lebih kurang 135 pelajar yang keciciran dek kerana pelbagai masalah hidup ini sudah beroperasi hampir tiga tahun tetapi masih belum diketahui ramai.

Ada sebilangan besar daripada mereka yang langsung tidak mempunyai sijil kelahiran dan tak kurang juga diistilahkan sebagai anak-anak fitrah yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya sebelum ini.

Mereka ditempatkan di situ bagi mengenal huruf dan diberikan ilmu pengetahuan sebagai bekalan pada masa depan.

Bagi Aznil pastinya bantuan yang dihulurkan terhadap para pelajar sekolah ini dilakukan sebagai tanggungjawab sosial semata-mata bagi melihat anak-anak terbiar ini tidak terus hanyut dan bergelumang dengan ‘dunia’ yang bukan milik mereka.

“Kita selalu anggap kita orang yang paling susah tetapi percayalah masih ramai orang yang kurang bernasib baik dan tidak terbela.

“Sebab itu saya ambil tanggungjawab ini untuk membantu serba sedikit kesemua pelajar di situ untuk mereka terus bersemangat menimba ilmu dan bagi bekalan masa depan,” ungkap Aznil memulakan bicara.

Baginya yang dilakukan bersama dengan rakan-rakan yang lain lebih tertumpu untuk memberikan bantuan agar mereka tidak terus terpinggir dan terjerumus ke lembah hitam seperti yang berlaku kepada keluarga sebahagian besar daripada pelajar ini.

Semuanya bermula dengan kunjungan Aznil bersama beberapa rakan lain ke Princes Root School, kuala Lumpur yang merupakan sekolah rendah pengacara itu pada bulan Mac yang lalu.

Agak mengejutkan apabila sekolah yang pernah menjadi tempat dia menimba ilmu sudah bertukar wajah dan dijadikan sekolah istimewa oleh kerajaan bagi membantu golongan yang terpinggir ini.

Bersama-sama hampir 30 rakan lain, mereka akhirnya sepakat untuk memberikan bantuan termasuk mengumpulkan dana bagi membeli baju raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu selain mengadakan majlis khas untuk mereka.

“Sebenarnya inisiatif ini sudah dilakukan beberapa bulan yang lalu lagi. Kami kumpulkan dana dan berikan mereka merasai nikmat berhari raya seperti orang lain.

“Agak mengejutkan apabila ada di antara mereka yang tidak pernah merasai nikmat tersebut. Bagi mereka Hari Raya tidak ubah seperti hari-hari yang lain dan tidak ada persiapan langsung.

“Walaupun usaha yang kami lakukan ini tidak besar tetapi setidak-tidaknya memberikan senyuman dan membina harapan untuk mereka berjaya pada masa depan,” tambahnya.

Teruja

Tidak terhenti setakat itu, Aznil juga sempat bertemu Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Khamil Jamil dan menyatakan tentang isu tersebut.

Baginya kesediaan Khamil yang memberikan ruang kepada para pelajar ini untuk membuat lawatan ke kilang Proton di Tanjung Malim, Perak, Isnin lalu begitu besar ertinya kepada mereka.

“Mereka ditempatkan dalam kelas tanpa mengira usia. Mereka belajar mengenal huruf dan belajar serba sedikit tentang perkara asas yang lain.

“Mungkin dengan lawatan ke kilang Proton ini akan membuka mata mereka untuk berjaya. Setidak-tidaknya akan membuka mata pelajar ini untuk meneroka bidang baharu yang tidak pernah difikirkan,” jelasnya.

Selain Aznil, turut hadir Fara Fauzana dan lawatan ini juga mendapat kerjasama daripada kelab Sahabat DRB-HICOM.

Paling mengujakan apabila pihak DRB-HICOM juga menawarkan pembelajaran di Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM), Pekan, Pahang kepada pelajar yang berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini.

“Tugas saya adalah untuk memberikan mereka galakan dan semangat. Walaupun sekarang mereka hidup terumbang-ambing tapi percayalah mereka mampu mengubah nasib.

“Yang paling penting adalah sokongan daripada orang luar untuk melihat mereka berjaya dan membuktikan anak-anak terbiar seperti ini mampu menjadi sesuatu yang berharga pada masa depan,” katanya.

Terbaru, Aznil sedang berusaha mencari dana bagi membina asrama untuk pelajar di sana. Tambahnya keadaan semasa dan latar-belakang pelajar ini yang memerlukan tempat perlindungan untuk mereka lebih fokus dengan pelajaran.

Walaupun perkara tersebut masih lagi dalam perancangan, dia menyasarkan perkara itu akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan mengharapkan bantuan daripada pihak lain yang sudi membantu.

“Kalau boleh saya mahu menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk hadir ke sini melakukan lawatan dan melihat sendiri sekolah istimewa ini.

“Rasanya ini satu-satunya sekolah dalam dunia yang diberikan bantuan dan mengumpulkan anak-anak fitrah yang tidak ada dokumen pengenalan diri dan diberikan pelajaran seperti anak-anak yang lain.

“Insya-Allah jika dipermudahkan segala urusan, yang dirancang akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi,” kata Aznil.

paling penting adalah so­ko­­ngan dari­pada orang luar untuk meli­hat mereka berjaya dan membuk­tikan anak-anak terbiar seperti ini mampu men­jadi sesuatu yang ber­har­ga pada masa depan