Begitu sinonim dengan rancangan berbentuk majalah Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) siaran TV3 suatu ketika dahulu, Maria berkata ketika melawati Taipei, Taiwan ketika berkhidmat sebagai pramugari dulu, negara itu tidak mempunyai makanan halal.

MARIA TUNKU SABRI
MARIA TUNKU SABRI

“Dulu masa jadi pramugari, kalau kami singgah atau transit di Taipei, memang susah sangat nak jumpa kedai makan yang jual makanan halal. Selalunya kami makan makanan segera yang dibawa dari Malaysia.

“Tetapi apabila sentuh bab membeli-belah, ia ibarat syurga dunia. Barangan di sana bukan sahaja lebih murah berbanding di sini, bahkan unik dan menarik. Susah nak dapat di tempat lain,” katanya.

Maria berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelantikannya bersama seorang lagi selebriti iaitu DJ Raifa daripada Radio24 FM sebagai ikon bagi syarikat pengembaraan Malaysian Harmony Tour & Travel (Ziarah Harmoni).

Dalam pada itu, Raifa menambah, rombongan tersebut akan bertolak ke Taipei pada 13 Disember ini bersama peserta lain selama enam hari lima malam (6H5M) dan menariknya, ia turut disertai Pengarah Taiwan Tourism Board, Tony Wu.

“Program ini mendapat sokongan sepenuhnya wakil rasmi pelancongan Taiwan yang beroperasi di Kuala Lumpur. Jadi, peserta yang mengikutinya bertuah kerana orang kuat organisasi berkenaan akan menjadi pemandu pelancong di negaranya.

“Jadi, tiada sebab untuk menolak daripada membawa seisi keluarga memanfaatkan cuti hujung tahun ke Taipei. Bukan sahaja akan dibawa ke destinasi pelancongan menarik, malah penganjur berjanji memastikan perut kita sentiasa kenyang diisi makanan halal,” katanya berseloroh.

Dek keserasian antara Maria dan Raifa sehingga menggamatkan suasana ketika dibawa menikmati panorama indah yang terdapat di Istanbul, Turki, baru-baru ini, maka mereka diundang sekali lagi oleh Ziarah Harmoni bagi menambah keunikan dalam percutian ahli rombongan kelak.

Pendaftaran bagi pakej ini tamat akhir November ini dan untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut atau membuat tempahan, boleh layari www.ziarahharmoni.com atau hubungi terus talian 0321429266. - UTUSAN ONLINE