Itulah antara bait puitis yang dimuat naik penyanyi bersuara lunak, Syamel, 25, di Instagramnya, sekali gus mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat dan pengikutnya.

Lebih menimbulkan tanda tanya, apabila Syamel turut menandakan (tagged) status tersebut di Instagram milik Ernie Zakri seolah-olah memberi gambaran bahawa pasangan duet lagu Aku Cinta itu sedang angau dilamun cinta.

Pun begitu, empunya nama Syamel Aqmal Mohd. Fodzly itu menjelaskan bahawa dia sekadar berkongsi petikan lirik yang terdapat dalam single terbaharu nyanyiannya berjudul Kau Pun Sama.

“Saya tak rasa ini adalah gimik, sebaliknya saya menganggapnya sebagai pembayang awal tentang kehadiran lagu tersebut.

“Niat saya memang nak beritahu sesuatu kepada umum, tetapi bukan secara literal,” jelas bintang realiti AF 2015 itu.

Tambah Syamel, lirik dan komposisi lagu adalah hasil gubahannya dan turut mendapat sentuhan Kidd Santhe.

“Ernie pula bertanggungjawab menjaga vokal saya sepanjang proses rakaman,” ujarnya yang mengakui terhibur membaca pelbagai spekulasi hasil telahan orang ramai di media sosialnya.

Kekal mempertaruhkan genre balada, Kau Pun Sama buat julung kali akan diperdengarkan kepada khalayak di platform Youtube bermula pukul 8 malam ini. - UTUSAN ONLINE