Menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam satu persembahan, ternyata kisah ringan yang diutarakan teater ini membawa tujuan yang begitu jelas untuk memberi kesedaran kepada penonton. Mengikut sejarah juga terdapat hampir 20 naskhah dalam persembahan Mek Mulung, bagaimanapun kali ini Istana Budaya memilih naskhah Putera Cahaya Bulan untuk dipentaskan.

Bakal dipentaskan pada 28 Februari ini hingga 1 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya, pendukung utama teater ini kelak terdiri daripada pelakon hebat tanah air, antaranya Arja Lee, Izreen Azminda , Hairi Safwan dan ramai lagi. Tidak dinafikan antara kebolehan yang ada kepada pelakon-pelakon ini adalah kemampuan mereka untuk menggunakan loghat Kedah.

Bagaimanapun penonton tidak perlu khuatir memandangkan bahasa yang digunakan dalam persembahan ini disesuaikan dengan pemahaman masyarakat kita kini. Menurut pengarahnya, Saipol Bahari, sebagai pengarah dia sendiri perlu menyelidik bahasa-bahasa sebenar dalam persembahan Mek Mulung ini, bagaimanapun katanya kelonggaran itu tetap ada demi memastikan teater ini kelak mudah dihayati.

“Memang kalau di Kedah sendiri ada daerah menggunakan loghat yang berbeza. Ada yang kami sendiri tidak faham. Namun persembahan ini kami cairkan sedikit penggunaan loghat lama dan dimodenkan sebab mahu memberi kemudahan buat penonton.

“Bagaimanapun dalam pada itu, kami kekal memastikan ada ciri-ciri keaslian dalam teater ini demi memeliharanya,” katanya.

Sementara itu menurut Arja Lee, walaupun dia tidak begitu fasih dalam menggunakan loghat Kedah, namun pengalaman menuturkan loghat ini menjadikan dia mudah untuk mempelajarinya. Malah dalam memastikan dia mampu beraksi dengan baik di atas pentas nanti, Arja juga sudah memperuntukkan masanya untuk ke negeri kelahiran Mek Mulung sendiri.

“Bila saya ditawarkan untuk berlakon dalam teater ini memang saya teruja sebabnya ini satu lagi cabaran baharu buat saya. Mungkin loghat yang saya gunakan sebelum ini agak moden, bagaimanapun mempelajari loghat yang lebih tinggi penggunaannya memang sedikit mencabar.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk berada di Kedah selama seminggu dalam memantapkan lakonan serta penggunaan loghat saya nanti,” katanya.

Pernah terlibat dalam teater bangsawan Makyung sebelum ini, kata Arja Lee tidak banyak yang perbezaan yang mampu dia utarakan memandangkan kedua-dua teater tradisional Makyung dan Mek Mulung masih perlu diterjemahkan dalam bahasa bangsawan.

“Mungkin loghat yang digunakan berbeza, namun saya fikir cabarannya tetap sama memandangkan penyampaian saya perlu mengekalkan bahasa bangsawan yang digunakan.

“Bekerja dengan beberapa artis lain seperti Hairi dan Izreen, mereka banyak membantu saya menguasai loghat ini dengan cepat, jadi saya tidak lihat kesuntukan masa sebagai masalah utama,” katanya.

Sementara itu tiket menonton pementasan ini dijual pada harga RM23, RM53 dan RM83.