Lakonan Umie sebagai Diana Dahalan disifatkan sebagai sangat cemerlang dan nama pelakon berkenaan seharusnya ditabalkan sebagai pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang.

Namun, apabila filem Munafik 2 dipertontonkan kepada pengamal media serta pengkritik dalam sesi tayangan perdana semalam, nama Maya Karin sebagai pendukung utama naskhah arahan Syamsul Yusof itu pula didebatkan.

Berdasarkan maklum balas majoriti wartawan hiburan serta pengamal filem, lakonan Maya dalam Munafik 2 digambarkan memberi persaingan yang amat sengit buat Umie dalam Dukun arahan sutradara tersohor, Dain Said.

Ketika soalan mengenai peluang menggugat kedudukan aktres senior itu diajukan kepadanya, Maya yang selama ini terkenal menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Ombak Rindu berpendapat, adalah tidak adil untuk melakukan perbandingan sedemikian.

Ini kerana, bagi Aktres Terbaik FFM Ke-21 itu situasi antara kedudukannya dengan Umie harus dilihat dari kaca mata yang positif.

“Soalan ini terlalu subjektif untuk dijawab dan lebih baik serahkan kepada barisan juri FFM.

“Sebagai pelakon, saya cuma laksanakan tanggungjawab yang telah diberikan sebaik mungkin untuk memenuhi kehendak pengarah dan diharap mampu memikat hati penonton,” kata Maya penuh jujur kepada wartawan selepas tayangan perdana Munafik 2 semalam.

Tampil mendukung watak Sakinah dalam filem Munafik 2, kredibiliti lakonan Maya Karin ternyata mengagumkan, malah seiring dengan julukan yang diberikan kepadanya selama ini iaitu ratu filem seram tempatan.

Bakal menemui penonton pada 30 Ogos ini (Khamis), filem sekuel terbitan Skop Productions yang mencetus fenomena pada 2016 itu sekali lagi dijangka mampu mengulang kegemilangannya mengungguli trofi naskhah terbaik dalam penganjuran FFM akan datang.

Berkongsi pengalaman membintangi Munafik 2, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 39, berpendapat, peluang yang ditawarkan oleh Syamsul itu saling tidak ubah seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu - Jerman itu, watak Sakinah terlalu berat buatnya dan sekali gus mencabar kewibawaannya untuk menterjemahkan skrip Munafik 2 ke dalam bentuk lakonan.

“Watak Sakinah benar-benar mencabar keupayaan saya sebagai pelakon kerana perlu mengerah kudrat untuk berlari dalam gua yang berbatu-bata serta hutan belantara yang penuh ranjau.

“Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa menjayakan adegan dipukul, diseret dan bergelut. Semua itu saya lakukan sendiri tanpa menggunakan pelakon gantian,” cerita Maya berkongsi pengalaman yang disifatkannya sebagai sangat berbaloi.

Sekuel terbaharu Munafik 2 ini mengisahkan Ustaz Adam (lakonan Syamsul) yang meneruskan aktiviti dakwah di samping menjadi seorang pengamal perubatan Islam.

Dalam masa sama, Ustaz Adam berhadapan dengan konflik iaitu apakah niatnya berdakwah dan berubat itu semata-mata atas kehendak agama atau di atas kepentingan peribadi.

Selain Maya dan Syamsul, turut membintangi Munafik 2 ialah Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Datuk Rahim Razali, Ku Faridah, Nasir Bilal Khan, Nam Ron, Weni Panca dan Fauzi Nawawi.

Berbanding Munafik yang menelan belanja pembikinan RM1.6 juta pada 2016, naskhah Munafik 2 diterbitkan dengan kos sebanyak RM2.8 juta. - UTUSAN ONLINE