Sungguh, sejak awal tahun lagi jodoh pasangan ini sangat kuat. Ke mana saja destinasi dituju atau sebarang aktiviti, kelibat kedua-duanya pasti dilihat bersama. Mudah kata, pasangan ini bagaikan belangkas yang tidak boleh terpisah jua!

Baik Mawar mahupun Raf, masing-masing enggan berenggang. Tidak sanggup berlama-lama menanggung kerinduan walaupun terpisah sedetik cuma.

“Kisah cinta kami bukan sekadar cerita kosong. Daripada saat pertemuan pertama sekitar awal tahun hinggalah sekarang, saya rasa ada perasaan yang kuat mengikat hati kami berdua. Macam magnet, kami tak boleh duduk berjauhan. Tak boleh nak biarkan pasangan jauh dari pandangan mata,” kata Mawar berkongsi cerita hati beberapa detik usai majlis pernikahannya.

Tepat pukul 3.20 petang, pasangan ini dinikahkan Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar, Kuala Lumpur, Ustaz Mohamad Azri Ahmad Kamil dengan mas kahwin berjumlah RM900. Pada majlis yang sama, Mawar menerima tujuh dulang berbalas sembilan daripada pihak pengantin lelaki berupa al-Quran dan kelengkapan peribadi lain.

Pasangan ini bakal mengadakan majlis resepsi di sebuah pusat konvensyen di ibu kota pada 1 Disember akan datang.

Perkahwinan yang dibina ini merupakan kali pertama buat Mawar dan kedua buat Raf. Justeru, Raf yang juga adik kepada chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob ini menyatakan rasa syukur apabila cintanya diterima baik pelakon drama Suamiku Paling Sweet itu.

Enggan menyentuh kegagalan perkahwinan terdahulu pada hari bahagianya, apa yang dimahukan ahli perniagaan ini adalah kehidupan yang sempurna dengan kehidupan baharunya bersama Mawar.

Menurut Raf, dia tidak pernah lagi bertemu dengan wanita yang berhati mulia seperti isterinya dan sanggup menerima kekurangan yang ada dalam dirinya itu.

“Apabila sudah bertemu dengan pasangan sejiwa kita, sudah pastilah kita tidak akan lepaskan dia sampai bila-bila. Orang hendak cakap kami kerap dilihat melekat atau apa saja, biarkanlah.

“Asalkan saya tahu niat saya untuk mengecap kebahagiaan, itu sudah memadai. Orang luar nak cakap apa saja, itu bukan lagi satu perkara besar buat kami,” tegas Raf, mendalam makna.