Reen Rahim, Arja Lee dan Triestan Aprilian mengambil banyak masa untuk ‘berguru’ dengan Datuk Rosnani Jamil atau Mak Nani, melalui naskhah Mawar Putih.

“Satu kepuasan apabila dapat berlakon dengan seniwati besar seperti Mak Nani. Jujur saya cakap, soal masa dan bayaran yang diberikan tidak pernah saya persoalkan. Pengalaman bekerja dengan orang lama itu lebih mahal dan kita akan bawa sampai mati,” ujar Reen yang membawa watak sebagai Tengku Zarina dalam teruja.

Mengakui karya Mak Nani untuk kali ini cukup berat, namun hasil ketekunan mengkaji watak, ia dipermudahkan.

“Sebelum ini saya pernah bawa watak air mata, namun entah kenapa semasa saya ingin bawa watak Tengku Zarina ini bagaikan ada sesuatu yang merentan jiwa. Bantuan Mak Nani ketika di set penggambaran memudahkan segalanya.

“Dia beri tunjuk ajar kepada saya dan pelakon lain, kalau ada yang dia tidak puas hati, disuruh untuk mengulangi semula agar keberkesanan kualiti lakonan itu menyerlah di layar perak.

“Pertama kali berlakon dengan Arja dan Triestan memang awalnya ada sedikit kekok. Namun lama-kelamaan hal itu dapat diatasi selepas kami berbincang untuk mendapatkan penghayatan agar tampak ‘hidup’ dan tak nampak palsu,” kongsi wanita berusia 28 tahun itu lagi.

Reen atau nama penuhnya Noreen Ashikin Abdul Rahim mempunyai harapan tinggi terhadap filem ini dan berharap hadiah terakhir Mak Nani itu akan terus disokong dan diingati.

Bagi Arja, hatinya berbunga-bunga saat diberitahu akan berlakon dibawah pengarahan Mak Nani.

Biarpun tidak berpeluang untuk menimba ilmu seni bersama dengan P.Ramlee, Arja tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk berada satu produksi dengan rakan seperjuangan legenda negara itu.

“Ini peluang keemasan buat saya sejak aktif selama enam tahun dalam dunia seni. Sungguhpun tiada rezeki nak berlakon dengan P. Ramlee, namun tetap gembira dan terharu bila Mak Nani pilih saya.

“Filem ini genre romantik dan saya diberi tanggungjawab bawa watak sebagai doktor. Sesukar mana sekalipun tugasan yang diberi, saya tetap galas dengan penuh kewibawaan.

“Bekerja dengan Mak Nani seperti bekerja dengan seorang ibu yang penuh kasih dan sayang. Masih teringat lagi panasnya pelukan Mak Nani tiap kali selesai babak saya dan dia kata lakonan saya itu mengingatkan dia kepada arwah pelakon Mustafa Noor," ceritanya. - Gambar Nooradzrene Mohammed Noor

Filem pertama sebagai hero

Jejaka tinggi lampai berusia 30 asal Jawa Timur, Indonesia ini berkali-kali mengungkapkan ucapan terima kasih buat Mak Nani kerana memberi peluang buat dirinya berlakon di dalam filem Mawar Putih.

Tidak pernah meletakkan sasaran untuk diberikan watak hero, dia lantas menyatakan persetujuan kepada Mak Nani.

“Saya diberitahu oleh rakan rapat di Indonesia bahawa pengarah Mawar Putih sedang mencari watak utama. Pada awalnya kurang mengenali siapa Mak Nani tapi selepas membuat pencarian di Google, barulah tahu dia itu seorang seniwati sukses di Malaysia.

“Ini filem pertama saya untuk peranan hero. Sukar sebenarnya nak bawa watak lelaki romantik tambah lagi gandingan dengan Reen, baru saya kenali.

“Saya ambil beberapa waktu untuk menyelami watak Irwann dan pertama kali berjumpa dengan Reen saya perlu mereka suatu perasaan setengah mati cinta sama dia,” tutur model popular di Indonesia ini.

Dalam pada itu, Triestan turut mengulas mengenai peribadi Mak Nani yang disifatkan sebagai berwawasan dan tidak lokek ilmu.

“Mak Nani, dia tegas tapi ada kelembutan kalau menegur pelakon. Meski usianya sudah 80 tahun, tapi tenaga dia seperti orang muda.

“Saya puas jika Mak Nani juga berpuas hati dengan filem ini. Malahan satu penghargaan juga buat saya sebab ini pengarahannya yang terakhir,” katanya yang memiliki perniagaan makanan Bakso di Indonesia.

Filem Mawar Putih yang menelan bajet RM1 Juta merupakan terbitan Manja Citra Sdn. Bhd., sudah berada di pawagam sejak 18 Ogos lalu di seluruh negara termasuk Singapura.

Mawar Putih mengisahkan tentang cinta dua darjat antara Irwan yang merantau ke Malaysia dan berkahwin dengan Tengku Zarina. Namun, pergolakan mula berlaku apabila anak mereka, Aidil bercinta dengan gadis asal Padang, Indonesia, bernama Cinta. Ada sesuatu yang membuatkan hubungan mereka itu tidak dapat bersatu kerana mendapat tentangan keluarga.