Tempias populariti drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut dirasai oleh Mathni Razak, 29, yang diberi kepercayaan menggalas peranan sebagai Doktor Mukhriz.

“Ikutkan, saya bukanlah orang baharu dalam dunia lakonan tempatan kerana telah memulakan karier seni sejurus menyertai pertandingan Kacak Bergaya 2010 anjuran akhbar Mingguan Malaysia.

“Namun, sebelum ini saya lebih fokus sebagai peragawan profesional di pentas fesyen tanah air dan hanya sesekali menerima tawaran berlakon jika berkelapangan.

“Lagipun, ketika itu saya masih lagi belajar. Sejak dua tahun kebelakangan ini baru saya aktif berlakon semula,” katanya yang pernah menerajui drama Degup Cinta juga arahan Shahrulezad.

Berdarah kacukan Melayu-Arab, pemuda tinggi lampai berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu tekad untuk menggilap bakat lakonannya dalam melakar nama sebagai seorang pelakon disegani.

Tambah pemilik nama penuh Ahmad Mathni Ab. Razak itu, dia cukup bertuah apabila Nur menjadi fenomena dan secara tidak langsung membuatkan namanya dikenali peminat drama Melayu tempatan.

“Ini adalah peluang terbaik yang harus saya manfaatkan untuk mengukuhkan tapak dalam industri ini dan berharap kehadiran saya diterima baik oleh semua pihak.

“Walaupun tempoh lapan tahun itu dilihat agak lama, tetapi saya masih anggap diri ini mentah dan sedia menerima tunjuk ajar daripada sesiapa yang lebih berpengalaman.

“Syukur Alhamdulillah, pembabitan saya mendapat maklum balas positif dan diharap terus diberi peluang untuk meneroka bidang lakonan pada tahap yang lebih mencabar,” ujarnya yang pernah terbabit dalam filem Karak dan Jin Notti itu. - UTUSAN ONLINE