Bagi penyandang vokal terbaik beberapa kali menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM), pertandingan nyanyian seakan-akan membawa percaturan indah dalam perjalanan karier seorang penyanyi. Menang atau kalah bukan satu isu dan menjadi beban yang perlu digalas sebaliknya kreativiti dan kerjasama yang dicetuskan untuk menghasilkan yang terbaik ketika menyertai pertandingan itulah momen paling berharga bagi Dayang Nurfaizah.

Kata penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu, sehingga hari ini, selepas melahirkan album baharu, antara keterujaan yang ditunggu-tunggu ialah menyertai majlis anugerah melibatkan pertandingan nyanyian.

“Soal orang lain tak mahu lagi bertanding, itu terpulang kepada mereka. Bukan bermakna bila saya masuk bertanding dan tak beri peluang kepada orang baharu tetapi di Malaysia pun, berapa banyak yang anugerah yang mempertanding lagu?

“Bagi saya, apabila selesai menghasilkan sesebuah album, saya sendiri tidak sabar-sabar melihat sejauh mana lagu tersebut diterima ramai dan dinilai secara profesional oleh orang lain. Namun yang paling indah apabila menyertai sesuatu pertandingan ialah membuat persediaan ke arah itu dengan bertungkus-lumus dalam satu pasukan bagi mencari idea paling kreatif yang boleh diketengahkan secara profesional,” katanya.

Dia percaya, proses tersebut merangsang aura positif yang membuatkan perjalanan karier seninya berkembang dan segar seiring waktu.

“Kalah menang itu tidak menjadi soal. Itu sudah menjadi adat dalam pertandingan. Apabila bertanding, kesemua artis itu berada pada tahap yang sama. Tidak ada lebih dan kurang kerana semua dihakimi juri profesional.

“Kalau menang kita akan terus ke hadapan, kalau kalah pun sama. Kita tetap akan melangkah setapak lagi untuk cuba menghasilkan lagu dan persembahan yang lebih baik,” tambahnya.

Minggu Setiausaha

Mengambil semangat baharu selepas tidak terlibat dalam menjayakan Minggu Setiausaha sejak dua tahun lalu, kali ini Dayang Nurfaizah bersedia tampil dalam majlis tersebut.

Bersama-sama Datuk Jamal Abdillah, penyanyi ini akan muncul di Hotel Tenera, Bangi pada 25 April ini menerusi Luncheon With Stars.

“Sebenarnya terkejut juga bila ditawarkan membuat persembahan pada Minggu Setiausaha pada tahun ini sebab tak banyak hotel yang menganjurkannya. Jadi kenapa tidak saya menerimanya sahaja.

“Lagi pula sudah lama tidak beraksi pada majlis makan tengah hari meraikan mereka, Saya anggap ini satu persembahan istimewa di hadapan para peminat saya dan Datuk Jamal,” kata Dayang.

Bagi yang berminat, harga tiket bermula dengan RM280 sehingga RM500 seorang mengikut meja. Untuk sebarang maklumat, boleh menghantar e-mel kepada [email protected]

Enggan baca komen negatif

Sementelah netizen pula sering berlagak sebagai ‘hakim’ kepada kehidupan artis dan membuat penilaian mengikut rasa mereka, Dayang Nurfaizah mengambil pendekatan mudah iaitu tidak mahu membazirkan tenaga positifnya membaca komen-komen negatif.

“Saya melihat situasi ini dengan mudah. Seramai mana yang menyukai kita, seramai itu juga yang membenci kita.

“Jadi saya mahu fokus kepada mereka yang menyukai dan menghargai saya. Saya tak nak memaksa orang untuk sukakan saya. Bagi yang tidak suka, biarlah mereka nak kecam apa pun.

“Sebab itu saya elak untuk baca komen-komen negatif. Malas nak bazirkan tenaga sebab kadang-kadang apabila terbaca, saya akan mula fikir macam-macam. Lebih baik langsung tak baca, lebih aman dan tenang,” katanya.

Begitu pun kata Dayang Nurfaizah, mujur media sosial miliknya dipantau oleh pengurusnya.

“Jadi, saya tidak perlu membaca sebarang unsur negatif yang membebankan minda,” katanya lagi.