Bagi pelakon yang sedang popular dengan drama rantaian Bila Aidil Ada Fitri yang ditayangkan ketika ini, perkongsian hidup yang belum menjengah usia setahun harus dinikmati sepuas mungkin sebelum fasa seterusnya bermula.

Justeru, dia dan suami belum memikirkan soal cahaya mata biarpun kerap kali berdepan dengan soalan tersebut.

“Soal anak ini saya tak boleh nak komen lebih-lebih kerana itu semua aturan Tuhan. Nak kata saya belum bersedia pun tidak, sangat bersedia pun tidak juga. Saya simpan jawapan itu.

“Cuma saya merasakan kami masih baharu dalam dunia rumah tangga, masih seronok hidup berdua dan menikmati hidup sebagai suami isteri,” kata pelakon ini.

Tambah Siti Saleha, 28, dalam tempoh beberapa bulan bertukar status kepada seorang isteri, dia sebenarnya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan panggilan ‘puan’ yang diberikan kepadanya.

“Kadang-kadang apabila orang bahasakan saya sebagai ‘puan’, saya terasa seperti ‘wow, saya sudah jadi isteri orang rupa-rupanya’.

“Kehidupan baharu ini memberi kehidupan yang berbeza tetapi tidak penah mendatangkan tekanan kepada kami berdua untuk cepat-cepat menimang anak.

“Apabila tengok adik dan abang sudah punya keluarga sendiri dan ada anak-anak, kehidupan mereka sangat berbeza seperti bertukar sepenuhnya.

“Saya sendiri belum puas nak bermanja dengan suami. Jadi, biarlah kami menikmati hidup berdua sepuas-puasnya sebelum Tuhan bagi rezeki soal anak. Kami bersikap terbuka soal ini,” kata Siti Saleha.

Puasa pertama bergelar isteri

MENJADI seorang wanita yang berdikari sejak remaja menjadikan pelakon ini tidak kekok untuk berada di dapur terutama ketika Ramadan.

“Sejak dahulu, lepas habis belajar kolej, saya sudah tinggal sendiri. Jadi, soal menyediakan makanan dan memasak bukan satu perkara yang asing untuk saya.

“Saya tidak perlu tunjuk ajar untuk memasak sejak bergelar isteri sebab sudah ada asas dalam hal tersebut. Saya anggap ini bukan sesuatu yang mencabar dalam kehidupan baharu ini.

“Lagi pula sekarang, semua resepi ada di Internet. Google sahaja jenis masakan yang kita mahu, keluarlah pelbagai jenis hidangan yang kita boleh pelajari.

“Malah ibu mertua saya pun banyak memberi bimbingan untuk memasak dengan lebih baik,” kata Siti Saleha.

Mengakui suaminya bukan seorang yang yang cerewet dalam memilih makanan, kata Siti Saleha, daging goreng kunyit menjadi kegemaran Lutfi.

“Saya pula mudah sahaja. Pilihan saya ialah salmon. Cepat, mudah dan sihat,” kata Siti Saleha yang masih belum memikirkan persediaan menyambut Aidilfitri.

Dua watak berbeza

SITI Saleha yang terlibat dengan kempen Syukur Selalu anjuran TV3 tampil dengan telefilem Bulan, Bintang dan Sayang, lakonan dengan Ben Amir.

"Dalam telefilem ini saya memegang dua karakter iaitu sepasang kembar bernama Lily dan Seri. Lily menghidap kanser manakala Seri pula bersifat pemberontak dalam keluarga. Ini sebuah filem keluarga yang sederhana berat.

"Cabaran pertama ialah saya perlu membawakan dua watak dalam babak yang sama maka saya perlu mengambil sedikit masa untuk menghayati dua karakter tersebut lebih-lebih lagi apabila pelakon pendua bukan seorang pelakon.

"Jadi, bercakap seorang diri kepada orang lain, tidak mudah. Cabaran kedua pula ialah tempoh penggambaran telefilem ini sangat singkat iaitu hanya lima hari.

"Justeru segala-galanya perlu mengikut waktu yang dijadualkan. Mujur semua berjalan lancar walaupun agak memenatkan,"kata Siti Saleha.