Bertemu Shawati baru-baru ini, Mega HITS berpeluang mendapatkan penjelasannya tentang perkara tersebut. 
Tidak melatah dengan pertanyaan yang diajukan, Shawati menafikan khabar angin itu.

“Saya masih isteri orang. Tidak ada isu mengenai status perkahwinan kami. Sebenarnya saya dan suami sangat terbuka terutama melibatkan soal kerja.

“Suami saya sangat sibuk dengan perniagaannya. Begitu juga dengan saya yang sentiasa ke luar negara menguruskan perniagaan saya. Mana mungkin dia akan selalu mengikut saya sedangkan dia sendiri ada kerjanya.

“Kalau kami tidak terikat dengan jadual kerja masing-masing, kami sedaya upaya untuk menghadiri apa jua majlis bersama-sama,” jelasnya.

Shawati, 46, mendirikan rumah tangga bersama suaminya 22 tahun lalu dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Wan Adam Syafiq, 17, dan Wan Maya Latisya, 14.

Bercerita mengenai keluarga dan kesibukan kerja, Ketua Pegawai Eksekutif Adamaya Consultancy & Services Sdn. Bhd., dan Adamaya Marketing Sdn. Bhd., ini bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang begitu memahami dan sentiasa menyokong minatnya dalam pelbagai cabang perniagaan.

Dalam soal ini juga, Shawati sentiasa positif dengan tidak memikirkan pandangan orang lain mengenai cara hidup keluarganya.

“Dalam menjaga rumah tangga, kami sentiasa ada persefahaman dan kepercayaan. Bagi saya, kalau tidak ada dua perkara tersebut, mudah untuk timbul masalah dan salah satu sebabnya ialah daripada orang luar yang mencucuk.

“Tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kerana saya tidak pernah fikir apa yang orang nak kata. Asalkan kami berdua bahagia, itu yang paling penting. Apa yang orang nak cakap, biarkanlah dia. Saya rasa mungkin kerana cara saya dan suami agak berbeza jadi mereka tidak dapat menerimanya.

“Saya seorang yang positif. Saya tidak ada masa untuk fikir benda lain yang tidak penting,” ujar Shawati ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen jenamanya sempena Minggu Fesyen Malaysia 2016 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. - Gambar NASIRRUDDIN YAZID

Berniaga pakaian jenama sendiri

Dalam perkembangan lain, bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini melangkah setapak lagi dalam perniagaan apabila mengeluarkan pakaian jenamanya sendiri, Shawati. Mendapat inspirasi daripada kerjayanya sebagai perunding imej, Shawati tampil dengan koleksi pakaian korporat.

“Sebenarnya ini adalah kali pertama saya menceburkan diri dalam bidang fesyen. Bidang perunding imej yang saya lakukan sebelum ini telah mendorong saya untuk memasuki bidang rekaan fesyen pula.

“Saya memilih pakaian korporat sebagai koleksi pertama saya kerana inspirasi itu datang apabila saya membuat latihan dan saya mendapati rupanya begitu ramai orang tidak tahu untuk bergaya terutama gaya korporat dan pakaian ke pejabat.

“Apa salahnya kalau saya reka sesuatu yang boleh menimbulkan satu kelainan dan memberi nafas baru kepada mereka yang terlibat dalam bidang korporat ini supaya lebih bergaya dan kelihatan yakin,” jelasnya.

Mengenai penglibatannya dalam bidang fesyen, Shawati merasa cukup bertuah kerana dapat berkongsi idea bersama anak-anaknya. Bagi Shawati, mempunyai minat yang sama dengan anak-anak turut membuka peluang untuknya sentiasa berada di sisi mereka.

“Untuk koleksi pertama Shawati, anak-anak saya turut terlibat sama dan mereka memberi idea-idea yang bernas untuk saya berinspirasi dan menghasilkan rekaan.

“Mereka berdua memang minat fesyen. Sejak dari kecil lagi saya nampak mereka ada kelebihan itu. Saya rasa sangat bertuah kerana mereka mahu berkongsi minat dengan saya.

“Anak perempuan saya suka melayan laman sosial jadi saya minta dia uruskan soal tersebut untuk perniagaan saya dan dengan cara itu saya dapat libatkan dia. Bagi saya, masa berkualiti kami adalah apabila kami melakukan apa yang kami suka.

“Selain itu mereka juga suka muzik dan menari. Anak lelaki saya Wan pandai menari dan pernah menjadi penari latar untuk Joe Flizzow.

“Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong dan tidak kisah dengan apa jua minat mereka tetapi dalam masa yang sama saya bagi tunjuk ajar. Saya tidak mengawal sebaliknya saya memerhati perkembangan mereka, tengok ke arah mana mereka tuju dan saya bagi tunjuk ajar,” tutur Shawati.