Mark Adam yang berasal dari Filipina lebih dikenali di Malaysia berbanding negara kelahirannya.

Tetapi ramai yang tidak mengetahui nama sebenarnya ialah Fikri Mark Adam dan sudah memeluk Islam sejak berumah tangga dengan wanita tempatan.

Dia yang sudah lebih 12 tahun menetap di negara ini juga mempunyai taraf penduduk tetap dan kini merupakan seorang guru vokal di Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita tentang kemunculannya di pentas hiburan tanah air, beliau begitu teruja dan berterima kasih kepada semua peminat kerana menerima lagu-lagunya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua peminat dan pendengar yang sentiasa menyokong dan menerima saya sejak mula berada dalam industri ini.

“Saya mula belajar bahasa Melayu kira-kira tujuh tahun lalu, dan masih lagi belajar. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, saya boleh bercakap dan mendendangkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Mark, dia akan terus mencipta lagu baharu untuk para peminatnya di sini kerana mereka mahukan lagu-lagu yang dia cipta sendiri, tidak kira dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya, dia turut berkolaborasi bersama seorang artis Jepun untuk lagu terbaharunya, tetapi tidak pasti bila ia akan dikeluarkan.

“Lagu ini akan disampaikan secara dwi bahasa iaitu saya akan menyanyi dalam bahasa Melayu dan dia pula akan menyanyi dalam bahasa Jepun. Sekarang, semua itu masih dalam peringkat rakaman dan akan siap tidak lama lagi.

“Saya akan maklumkan sebarang perkembangan lagu ini kepada para peminat melalui media sosial apabila ia dipasarkan kelak,” jelasnya lagi.

Selain itu, Mark mengakui sedang berusaha melahirkan lagu-lagu baharu walaupun kadangkala agak sukar kerana mahu memastikan lagu-lagu itu dapat diterima oleh semua peminat.

Bercerita mengenai kehidupannya di negara ini, menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang bagus dan alhamdulillah, dia tidak berasa susah untuk menyesuaikan diri menjalani kehidupan harian di negara ini.

“Saya akui bahawa saya lebih dikenali di sini (Malaysia) berbanding negara asal saya, Filipina walaupun saya pernah mengecap populariti di negara kelahiran saya satu ketika dahulu.

“Jika ada masa, mungkin satu hari nanti saya akan menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa Tagalog yang saya cipta sendiri, insya-Allah,” katanya yang akan pulang ke Filipina bertemu keluarganya sekali setahun.