Selepas tiga tahun tidak menghasilkan lagu sendiri, Mark atau nama Islamnya, Mark Adam Fikri Abdullah menjelaskan bahawa lagu tersebut adalah ciptaannya bersama Adeep Nahar.

“Tiga tahun lamanya saya tidak keluar dengan lagu baharu. Ini kerana jadual seni saya kebelakangan ini sangat padat dengan pelbagai program.

“Dalam tempoh itu juga, saya sibuk berlakon serta beberapa urusan kerja lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kini, atas permintaan ramai, saya tampil dengan Amnesia untuk diperdengarkan kepada peminat yang selama ini ternanti-nantikan buah tangan terbaharu saya,” katanya.

Menurut Mark, lagu tersebut mengisahkan tentang seorang jejaka yang cuba mengingati nama gadis yang berjaya menawan hatinya, namun gagal.

“Peminat kena tonton dahulu klip video lagu ini yang akan keluar tidak lama lagi dan selepas itu barulah mereka faham penceritaan lirik lagu ini keseluruhannya,” jelas Mark.

Lebih menarik, terdapat 12 nama wanita yang disebut di dalam lirik lagu berkenaan, namun tegas Mark, nama-nama itu tiada kaitan dengan sesiapa walaupun hampir kesemuanya adalah nama artis wanita terkenal negara.

“Kalau nak tahu nama-nama artis yang disebut, kenalah dengar lagu ini yang akan keluar tidak lama lagi,” ujar Mark. - UTUSAN ONLINE