Ketika itu namanya sering menjadi sebutan pereka fesyen dan penggemar fesyen tanah air. Malah hampir setiap bulan wajahnya sering menghiasi majalah-majalah fesyen tempatan. Manakala kelibatnya sentiasa ada di pentas-pentas utama memperagakan pakaian jenama-jenama terkenal.

Mungkin kerana raut wajahnya yang unik dengan ketinggian 159 inci yang jarang dimiliki wanita Melayu ketika itu membuatkannya tampak istimewa. Berpeluang menemubual model yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam dunia peragaan, Pancaindera menyingkap kisah kehidupannya dari dahulu sehingga sekarang.

Bercerita tentang kehidupannya ketika kecil, anak kelahiran Petaling Jaya ini sudah mula menunjukkan bakat dalam bidang peragaan serta iklan di televisyen ketika berumur 13 tahun lagi. Semuanya bermula apabila dia terlibat dalam iklan syarikat milik ayahnya.

“Ayah mempunyai syarikat yang aktif menghasilkan iklan. Jadi waktu itu saya terlibat menjayakan iklan seperti susu Dutch Lady, Planta dan banyak lagi. Selain daripada terlibat dengan iklan, jika ada masa terluang, saya dihantar ke kelas tarian balet dan renang. Kiranya semua asas untuk bergelar model sudah didedahkan dari kecil.

“Saya juga selalu melihat foto ibu, Merlyn Mc Kelvie yang merupakan Miss Malaysia pada tahun 1966. Ibu berpeluang ke London dan kerana itu saya sentiasa berangan-angan ingin mengikut jejak langkahnya bergelar peragawati terkenal,” ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini.

Ketika kecil dahulu, banyak ahli keluarga sering menegur bentuk tubuhnya yang sesuai bergelar model apabila besar. Dek kerana pujian itu, dia sering mengambil bahagian setiap kali pertunjukan fesyen yang diadakan di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya.

“Di sekolah setiap minggu ada pertunjukan fesyen untuk program amal. Saya merupakan salah seorang wakil pelajar yang menjayakan slot fesyen. Juri-juri yang terlibat pula merupakan model-model ternama ketika itu, daripada situlah saya mula belajar cara berjalan dan sebagainya,” ungkapnya.

Biarpun dirinya sudah terdedah dalam bidang tersebut sejak kecil, namun ayahnya tidak membenarkannya untuk membabitkan diri dalam bidang peragaan. Dia juga sering dihalang namun akhirnya ayahnya akur apabila melihatkan kesungguhannya.

“Ayah seorang yang sangat garang, saya sendiri takut dengannya. Sewaktu saya belajar di kolej Stamford, Petaling Jaya, saya pernah menyertai pertandingan Miss Malaysia 1985 tetapi apabila dia nampak sahaja gambar saya terpampang dalam surat khabar dia suruh tarik diri.

“Bukan setakat itu, apabila mendapat tawaran untuk bergelar pramugari pun dia koyak surat tawaran. Kalau boleh dia ingin saya menjadi peguam setelah tamat belajar ketika itu. Tapi nak buat macam mana, rezeki saya tetap dalam bidang ini juga,” tuturnya.

Aktif dalam peragaan

Berbicara tentang penglibatannya dalam dunia peragaan secara serius pula, model yang mempunyai darah kacukan Siam, Melayu, Indonesia, Cina, Scottish dan Ceylon ini memulakan kerjaya sebagai seorang model ketika berumur 18 tahun. Ketika itu bakatnya dihidu oleh agensi peragaan terkemuka Cilla Foong.

“Waktu itu saya tak sedar saya diperhatikan ketika menyertai satu pertunjukan. Selesai majlis, Cilla menemui saya dan meminta saya hadir untuk sesi uji bakat. Apabila berjaya dalam sesi tersebut, saya diberi latihan cara berjalan dan penataan imej selain turut menerima tugasan.

“Tugasan pertama adalah memperagakan busana di Hotel Hilton, Petaling Jaya namun saya agak kecewa apabila ditertawakan oleh model profesional yang turut bersama-sama ketika itu. Peristiwa tersebut membuatkan saya berputus asa. Namun mujurlah rakan saya, Sandra Rankine, pengasas agensi peragaan Portfolio Models memberikan kata-kata semangat dan mengambil saya bekerja.

“Tawaran untuk memperagakan fesyen pereka terkenal dunia Kanzai Yamamoto merupakan percubaan yang tidak disia-siakan. Daripada situ saya mula terlibat dalam fesyen di luar negara. Saya menyertai pertunjukan fesyen ke seluruh dunia antaranya Barcelona, United Kingdom, Scotland, Korea dan negara-negara lain. Banyak pengalaman yang saya kutip ketika itu,” ujarnya.

Berkongsi salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, ibu kepada empat orang cahaya mata ini pernah memperagakan fesyen di hadapan Putera Edward pada 1994. Sehingga ke hari ini dia masih tidak dapat melupakan saat-saat berharga itu.

“Siapa yang tak teruja dengan peluang tersebut. Tetapi waktu itu saya berhadapan dengan beberapa masalah sebelum pertunjukan bermula. Busana batik yang ingin dipakai tidak sampai. Masa tu saya gelabah lebih-lebih lagi saya yang uruskan pertunjukan yang turut dijayakan bersama model-model lain.

“Saya tidak tahu perlu gantikan baju tersebut dengan apa sebab kami perlu memakai baju batik. Dalam kekalutan tersebut mujurlah baju tersebut sampai juga satu jam sebelum pertunjukan. Apalagi kelam kabutlah menggosok dan sebagainya. Nasib baik ia tetap berjalan lancar,” tuturnya.

Berkongsi perbezaan antara model dahulu dan sekarang, Marini mengakui ketika zamannya dahulu mereka tidak boleh besar kepala kerana komuniti mereka kecil sahaja. Jauh sekali untuk dimanjakan seperti model sekarang. Malah setiap kali ingin memperagakan fesyen, mereka perlu membawa keperluan sendiri.

“Dahulu beg, kasut, alat solek semuanya kena bawa sendiri. Kadang-kadang sampai sakit belakang angkut beg yang berat. Berbeza dengan hari ini, model datang sahaja ke set tak perlu bawa apa-apa, tadah muka sahaja untuk disolek. Pun begitu melalui kesukaran itulah nama kami kekal sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Sehingga hari ini, tidak terkira beratus-ratus iklan yang pernah dijayakan olehnya sama ada di televisyen atau papan iklan antaranya McDonalds, Bonia, S’fare, Nescafe, Pampers, Lee Cooper dan banyak lagi. Bersama dengannya adalah rakan seperjuangan seperti Irene Santiago, Nasha Aziz, Tengku Azura dan ramai lagi.

Gila-Gila Remaja

Bukan sahaja aktif dengan peragaan tetapi Marini juga pernah terlibat dalam menjayakan drama dan filem. Antaranya filem Gila-Gila Remaja. Biarpun lakonan tidak sehebat pelakon yang sedia ada ketika itu tetapi dia gembira kerana berpeluang melakukan perkara yang diminati.

“Saya memang suka berlakon tapi tak adalah terfikir sampai ingin jadikan sebagai kerjaya tetap. Waktu itu saya bekerja di syarikat produksi, bila pelakon tak cukup atau tak hadir, saya diminta untuk menggantikan tempat mereka. Lama kelamaan daripada sebuah filem saya juga turut terjebak dalam drama Peronda Lebuh Raya, Balqis dan beberapa lagi.

“Walau bagaimanapun pada awal tahun 2000 saya mula memperlahankan kerjaya sebagai model. Masa tu saya tumpukan perhatian kepada anak-anak dan perniagaan. Kesibukan masa membataskan segala-galanya. Tetapi jika ada permintaan saya tetap menerima undangan mengikut kesesuaian.

“Dulu pernah juga saya buka agensi model untuk membantu model-model Melayu pergi jauh ke hadapan. Namun ternyata permintaan terhadap model-model berwajah Pan-Asia lebih tinggi sehingga menenggelamkan mereka. Itu realiti yang perlu dihadapi pada hari ini,” ujar ahli perniagaan berjaya ini.

Kini masanya lebih banyak dihabiskan pada perniagaan barangan kecantikan rambut iaitu Marini Naturale Magic. Produk ini terjual ke seluruh dunia dan mempunyai penggemar tersendiri. Bagi yang ingin mendapatkannya boleh juga pergi ke laman web Lazada dan myshoppe.