Memandangkan muzik keroncong mempunyai kelas dan kedudukan tersendiri, dia sering diundang menyanyi di majlis-majlis yang penuh dengan protokol. Malah dia merupakan antara penyanyi pilihan ketika itu kerana kemerduan suaranya setiap kali mengalunkan lagu keroncong.

Menyingkap sejarah kehidupan awal penyanyi yang berasal dari Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka ini, ketika zaman persekolahan Mariam begitu berminat dengan muzik pop dan sering mengikut kumpulan muzik di kampung nya berlatih.

“Saya memang minat menyanyi. Tapi masalahnya waktu itu ayah dan ibu tak izinkan. Mereka pasti marah kalau dapat tahu saya menyanyi. Memandangkan mereka tak suka jadi saya terpaksa lakukannya secara sorok-sorok.

“Balik sahaja dari sekolah saya akan menipu ayah, kononnya hendak pergi kelas tambahan padahal saya pergi berlatih dengan kumpulan muzik di kampung kami. Merekalah juga yang membawa saya ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Melaka,” ujarnya.

Pernah suatu hari ketika mereka sekeluarga sedang bersantai sambil mendengar radio, tidak semena-mena suara nyanyiannya berkumandang di radio. Terkejut dengan situasi tersebut Mariam terpaksa berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.

“Habis sahaja lagu tersebut, nama saya pun diumumkan. Ayah terus memandang saya dan bertanya bila saya buat rakaman? Masa tu saya tergamam dan tak mampu berkata apa-apa lagi. Mak pula terus marah sebab dia bimbang saya akan mengabaikan pelajaran kerana asyik dengan nyanyian,” tutur nya mengimbas kenangan lalu. 

Dudah berjinak-jinak agak awal dalam bidang nyanyian namun dia sempat menghabiskan persekolahan terlebih dahulu sebelum menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun, Melaka.

Namun, hasrat ibubapa untuk melihat dia berjaya dalam pelajaran tidak diabaikan begitu sahaja. Malah, dia berjaya melepaskan sesi pembelajaran ke tahap yang agak membanggakan keluarga, pada zaman itu. 

 “Saya tetap pentingkan pelajaran sebab itu janji saya pada ayah dan ibu yang mahukan saya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran jika ingin bergelar penyanyi. Alhamdulillah akhirnya impian mereka tercapai juga,” ujar anak pertama daripada empat orang adik-beradik ini lagi.

Guru dan menyanyi

Setelah tamat belajar di maktab, dia mula berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, Melaka. Biarpun sibuk dengan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar namun minatnya dalam bidang nyanyian tidak padam begitu sahaja.

“Saya tetap aktif menyanyi di sekolah. Jika terdapat majlis keramaian saya akan dipanggil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai penyanyi undangan sebab mereka tahu yang saya pandai menyanyi. Lebih-lebih lagi dalam masa yang sama saya turut bergelar guru muzik,” ujarnya.

Ketika itu dia banyak menyampaikan lagu-lagu berunsur kan muzik pop dalam setiap persembahan sehinggalah dia mendirikan rumah tangga dengan suami, Mohd Yusuf Yunus yang turut berkongsi minat sama dengannya dalam bidang muzik.  

“Suami suka muzik keroncong. Dialah yang menggesa saya agar menyanyi lagu keroncong. Pada permulaannya saya memang tak pandai tapi dia sanggup mengupah guru muzik dari Indonesia semata-mata untuk mengajar. Lama kelamaan daripada tak suka akhirnya jatuh hati pula.

“Sejak itu saya mula masuk bertanding pertandingan bintang radio RTM. Malah selama tiga tahun berturut-turut, saya pernah menjuarai Pertandingan Bintang Radio Bahagian Keroncong pada tahun 1967, 1968 dan 1970. Bermula daripada situlah juga bakat saya mula dipandang dan sering mendapat undangan daripada stesen televisyen, radio, majlis-majlis khas dan sebagainya,” ujarnya.

Ketika itu juga dia ditawarkan untuk menghasilkan lagu single oleh Abdullah Haroun yang merupakan salah seorang penerbit lagu yang popular waktu itu. Dalam masa yang sama juga, dia turut menubuhkan kumpulan muzik yang dikenali sebagai Fajar Baru.

Pada tahun 1975, dia merakamkan lagu asli keroncong yang berjudul Ranjau Kasih. Album tersebut terbitan syarikat rakaman Guo dan penerbitnya ketika itu Ibrahim Bachik.

Antara lagu keroncong popular yang sering dibawa olehnya ketika persembahan adalah Rindu Malam, Alunan Biola Terkenang-Kenang, Sayang Di Sayang, Batik Lepas dan Penjual Tapai. Rakan artis seangkatannya ketika itu adalah Julie Sudiro, Aspalela, Yusni Hamid, M.Daud Kilau dan ramai lagi.

Bercerita tentang kenangan manis ketika bergelar penyanyi keroncong dia tidak dapat melupakan saat di mana dia mengikat kontrak selama lima tahun dengan pihak Istana Johor ketika takhta pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail dari 1984 hingga 1989.

“Baginda suka menyanyi. Ke mana sahaja Sultan Iskandar mencemar duli, kami satu kumpulan akan dibawa bersama-sama untuk menghiburkan tetamu lain juga. Kami juga pernah di bawa sehingga ke Brunei untuk membuat persembahan di hadapan Sultan Brunei. Itu merupakan memori yang manis yang saya masih ingat,” ujarnya.

Dia juga pernah diundang untuk membuat persembahan di Indonesia bersama artis-artis keroncong popular Indonesia sekitar tahun 1980-an. Di sana dia sempat menyampaikan sebuah lagu keroncong asli Indonesia yang agak popular.

“Saya tak sangka rupa-rupanya pencipta lirik lagu yang saya nyanyikan itu ada menghadiri persembahan pada waktu itu. Sebaik sahaja habis menyanyi dia terus naik ke pentas dan memeluk saya. Katanya dia tak menyangka ada penyanyi Malaysia yang boleh menyanyikan lagu Indonesia sebaik itu,” katanya lagi.

Berbicara tentang lagu keroncong, menurut Mariam, penyampaian lagu ini sangat berlainan sekali dengan penyampaian lagu pop. Malah iramanya mampu memberi ketenangan kepada diri kerana seni kata yang mendalam dan menyentuh perasaan. 

“Keroncong ada banyak jenis, keroncong asli yang selalunya diambil daripada lagu-lagu Indonesia, keroncong langgam yang terdiri daripada lagu-lagu pop serta keroncong Stambul merupakan jenis keroncong yang diambil dari bentuk sandiwara,” tutur nya.

Pejuang keroncong

Lebih 40 tahun bergelar penyanyi, dia pernah menerima anugerah Penyanyi Keroncong Sepanjang Zaman daripada Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) selain turut Darjah Seri Melaka (DSM). Biarpun sudah memasuki usia emas, namun dia terus aktif menerima undangan nyanyian di merata tempat.

“Sampai sekarang menyanyi sebab itu memang dah jadi darah daging. Selain menyanyi saya juga sering dijemput menjadi juri pertandingan nyanyian. Dalam masa yang sama juga saya terikat dengan persembahan setiap hari Jumaat dan Sabtu untuk menghiburkan pelancong di River Cruise, Melaka. 

“Setiap minggu saya ulang alik dari Kuala Lumpur ke Melaka. Alhamdulillah selagi diperlukan saya akan terus menyanyi. Dalam masa yang sama saya juga ada bercadang untuk membuat kompilasi lagu-lagu keroncong tapi semuanya masih dalam perancangan.

“Sekarang ini saya agak sibuk berlatih untuk konsert Malam Bintang Lagenda yang akan diadakan pada 2 Disember akan datang di Mini Malaysia & Asean Cultural Park, Melaka. Ramai bintang lagenda yang akan turut serta antaranya Ibnor Riza, Herman Tino, Julie Sudiro, Abon, Zaiton Sameon dan ramai lagi,” tutur ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.

Demi kerana minat yang mendalam kepada bidang seni, Mariam sehingga kini masih aktif memenuhi undangan persembahan. Bagi yang ingin mengundang Mariam Ahmad untuk membuat persembahan bolehlah menghubungi talian 019-2117019.