Maria, 48, yang telah memenangi kes saman fitnah terhadap mereka dan beroleh ganti rugi berjumlah RM400,000 mahu kedua-dua beranak itu tidak lagi melengah-lengahkan tindakan permohonan maaf tersebut.

“Saya nak pihak mereka buat permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin kerana sudah banyak kali tertunda sebab Hadijah asyik mengelak sahaja.

“Sudah lama pihak saya memberi masa tapi tiada tindakan daripada pihak sana,” katanya ketika dihubungi Mega HITS baru-baru ini.

Isnin lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mempertimbang kesan fitnah yang dilakukan oleh ahli perniagaan kosmetik tersebut dan anaknya terhadap Maria.

Dalam keputusan itu, mahkamah mengarahkan supaya Hadijah membayar ganti rugi RM300,000 manakala Nur Shazleen Anis RM100,000. Mereka juga diarahkan membayar kos RM50,000 kepada aktres tersebut.

Maria yang berasa lega dengan keputusan mahkamah itu berkata, akhirnya kebenaran sudah terbukti dan berharap pihak sana tidak lagi menabur fitnah terhadap dirinya.

“Syukur, semuanya sudah berakhir. Memang saya rasa lega sangat. Harap mereka tidak akan kacau hidup saya lagi. Selama dua tahun mereka sering ganggu saya melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan datang ke rumah serta tempat kerja.

“Harap kali ini mereka betul-betul belajar daripada kesilapan dan jangan ganggu saya lagi,” katanya penuh harapan.

Selain itu, dia juga mahu orang di luar sana mengambil kesnya itu sebagai teladan dan jangan sesuka hati menfitnah orang tanpa usul periksa.

“Kebenaran sudah terbukti. Jangan nak buat fitnah sembarangan. Kepada yang lain, saya harap belajar daripada kejadian ini, janganlah nak buat kesalahan seperti ini. Ingat senang-senang nak fitnah artis.

“Apabila terjadi kepada kami, mestilah kami akan ambil tindakan semula. Kalau perkara tak betul, tak mungkin orang berkenaan nak mengaku pula. Saya harap orang ramai jangan nak pusing kenyataan atau membuat fitnah yang tidak tentu arah.

“Apabila kebenaran sudah terbukti, siapa yang malu. Tolonglah jangan kacau hidup saya dan keluarga lagi,” pintanya.

Kata Maria, biarpun mahkamah sudah memutuskan keputusan memihak kepadanya, dia berharap selepas ini tidak ada lagi kenyataan karut daripada mana-mana pihak tentangnya.

Dia yang telah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rahman Shakur pada 26 November 2015 itu berkata, pihak guamannya juga sering memantau di laman sosial mengenai setiap isu berkaitan dirinya.

“Sekiranya ada lagi kenyataan tak berasas daripada pihak sana, saya tak teragak-agak akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” jelasnya.