Kata pengarahnya, SD Puvanendran, filem tersebut diilhamkan oleh penerbitnya, Chandru, seorang pegawai imigresen negara ini.

Justeru, Maravan berinspirasikan kepada kisah kehilangan ramai kanak-kanak di Malaysia yang tidak dapat dikesan yang akhirnya menjadi mangsa dalam penjualan organ dan penyeludupan dadah.

Kata Puvanendran, boleh dikatakan 95 peratus kanak-kanak hilang di negara ini adalah mangsa keadaan dan sehingga kini kes kehilangan mereka tidak dapat diselesaikan.

Malah dia sendiri membuat penyelidikan selama tiga bulan dengan bertemu keluarga mangsa bagi mendapatkan 
jalan cerita yang lebih 
terperinci.

“Ini sebuah cerita berasaskan kepada kisah benar yang berlaku di Malaysia yang ramai orang tidak tahu atau mungkin tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi kepada kanak-kanak yang hilang selama ini.

“Secara kebetulan penerbit kami adalah kakitangan imigresen, jadi idea dan isi kandungan filem tersebut adalah antara kisah benar yang tidak banyak yang diketahui orang ramai. Kalau pun ada yang tahu, pendedahan mengenainya hampir tiada,” kata Puvanendran.

Filem Maravan juga melakar sejarah tersendiri di luar negara apabila baru-baru ini memenangi Country Best Award di International Open Film Festival di Dhaka, Bangladesh, daripada tujuh kategori yang dipertandingkan.

Menerusi FFM28, Maravan bersaing dengan empat lagi filem iaitu The Kid From The Big Apple, Huat The Fish, Ola Bola dan Jagat.