Pelakon berusia 27 tahun ini juga tidak mahu membataskan usia mudanya sekadar untuk kemajuan diri sendiri. Seboleh-bolehnya dia mahu berbakti menerusi bakat seninya bagi memberi warna kepada kehidupan orang lain.  

Pemilik nama sebenar Farah Nabilah Saipuddin yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Meletop Era 2018 dan Artis Baharu Wanita Popular 2018, mahu mencontohi bintang popular Hollywood, Angelina Jolie yang banyak menyertai misi kemanusiaan dengan membantu manusia sejagat.

Justeru, apabila ditawarkan sebagai duta Yayasan Bantuan Pembangunan Asia-Afrika (ADRF), Farah Nabilah tidak berfikir dua kali. Peluang dan ruang untuk membantu insan lain itu terus sahaja disambar tanpa ragu-ragu. 

“Saya begitu teruja dengan pelantikan sebagai duta ADRF kerana ini impian saya. Ia bersesuaian dengan matlamat saya yang tidak mahu mengejar populariti semata-mata.

“Saya mahu mengimbangi kerjaya seni dan projek kemanusiaan melalui ADRF. Saya ingin mencontohi  Angelina Jolie yang sering menjayakan kerja-kerja kemasyarakatan. Selama ini dia adalah idola dan menjadi inspirasi saya.

“Sekarang adalah masa untuk saya memberi sumbangan kepada masyarakat terutama golongan memerlukan melalui ADRF yang ditubuhkan di Korea Selatan, sejak 22 tahun lalu.

“Menjadi artis yang menjalankan misi kemanusiaan adalah satu kelebihan kepada ADRF. Saya boleh memanfaatkan populariti untuk menyempurnakan hasrat murni ini,” kata Farah Nabilah.
Pelakon ini pernah terlibat dalam salah satu projek ADRF tahun lepas iaitu kempen kembali ke sekolah yang diadakah di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

Melihat kanak-kanak yang teruja menerima keperluan sekolah membuatkan Farah Nabilah terharu sekali gus semangatnya berkobar-kobar untuk membantu golongan seperti itu. 

“Dalam program itu ada yang memanggil saya dengan panggilan Cik Reen iaitu watak saya dalam siri drama Cik Reen Encik Ngok Ngek. Situasi itu menjadikan program berkenaan lebih meriah.

“Dari situ saya sedar pentingnya penglibatan artis dalam misi kemanusiaan kerana memberi nilai tambah kepada program yang dijalankan. Dalam masa sama, kesedaran tentang misi itu dapat diperluaskan dengan mudah,” jelas pelakon yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Upper Iowa (kampus Malaysia).