Mungkin ada yang skeptikal dengan filem arahan Razak sebelum kerana dia kerap menghasilkan filem komedi slapstik. Tidak semua mampu menerima filem jenis itu dan gaya pengolahannya.

Tidak berputus asa, Razak percaya menerusi Maua Manu Lari penonton dapat sesuatu yang berbeza dan segar berbanding filem-filem terdahulu.

Menurut Razak, filem Mana Mau Lari lebih kepada road movie, sebuah kisah pengembaraan yang masih baru dalam industri perfileman tempatan.

Memasukkan elemen komedi, seram dan fantasi Razak yakin elemen ini masih setia menjadi kesukaan penonton.

“Dalam membawa kelainan, saya memilih untuk menghasilkan penceritaan mengenai sebuah pengembaraan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Dalam mahu membawa perubahan, perkara itu harus dilakukan secara berperingkat kerana kebanyakan filem yang terlalu mementingkan artistik, tidak begitu laku di pasaran.

“Ini kerana penonton ke pawagam kerana mahu berhibur, bukan mahu berasa tertekan. Kita perlu ingat khalayak adalah penentu kejayaan filem kita,” katanya.

Mengenai elemen komedi, seram dan fantasi dalam filem ini menurut Razak, intipati cerita adalah mengenai persahabatan. Konflik bermula apabila Abang Pen kehilangan motor berkuasa tingginya.

Misi menjejaki motornya itu telah ditemani tiga sahabat baiknya dan dalam perjalanan itu, mereka meraih pengalaman lucu, aneh dan mencemaskan.

Menariknya, Mau Mau Lari turut mendapat tajaan Harley Davidson (Malaysia) yang sekali gus menjadikan filem itu lebih menarik.

“Ini adalah suatu yang membanggakan kerana ini filem pertama yang berjaya mendapatkan tajaan jenama motorsikal terkenal itu. Ini adalah antara faktor keistimewaan Mana Mau Lari.

“Kebanyakan filem tempatan lain memaparkan kehidupan mat rempit yang sinonim dengan motosikal biasa. Mana Mau Lari pula mengajak orang ramai untuk merasai keterujaan melihat aktiviti menarik menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Tambahan pula terdapat banyak kelab-kelab peminat motorsikal berkuasa besar di Malaysia. Mungkin dengan mengangkat kisah mereka ini di layar perak sekali gus mengajak kelompok ini menonton di pawagam,” ujarnya.

Bercerita mengenai cabaran sepanjang mengarah filem ini Razak memberitahu, antara yang paling menguji kreativitinya adalah dari aspek sinematografi.

“Ini kerana membabitkan banyak lokasi yang berbeza-beza bagi memaparkan pengembaraan mereka agar kelihatan menarik. Bila tak dapat lokasi yang diinginkan, itu membuatkan saya perlu beralih ke lokasi lain. Tak mudah kerana kita kena fikir aspek risiko sesuatu kawasan.

“Dalam filem ini sempat berlaku satu kemalangan membabitkan pelakon baru Aliff Yasraff dan Yassin semasa penggambaran berlangsung,” katanya.

Tak guna wajah ‘hero’

Satu kelainan dalam Mana Mau Lari, filem ini tidak menjual wajah pelakonnya. Kesemua yang terlibat tidak dikategorikan sebagai pelakon hero kerana Razak mahu memberi ‘nyawa’ kepada filem ini.

Hal itu menurut Razak sengaja dilakukan kerana jika pelakon diberikan watak komedi akan kelihatan seperti lakonan drama.

“Ramai yang hadir uji bakat tertutup tetapi mereka yang terpilih ini adalah yang bersesuaian dengan karakter selain berupaya mengendalikan motosikal berkuasa tinggi. Ada juga yang tak mempunyai lesen motor besar tetapi mereka sesuai dengan karakter yang saya mahukan. Jadi kita berikan latihan kepada mereka bagi membiasakan diri,” katanya lagi.

Dalam pada itu kata Razak, dia juga memberi peluang kepada pelakon Aliff Yasraff , anak didiknya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Seperti dia membawa Farid Kamil masuk ke dalam dunia seni sebelum ini, Razak membuat strategi yang sama kepada Aliff kerana yakin dengan potensi anak muda itu kepada dunia perfileman tanah air.

Selain Tauke Raja Lawak dan Aliff Yasraff, filem ini turut dibintangi oleh Syuk Balas sebagai Kapten, Yassin (King) dan Saiful Apek (TJ) serta Delimawati, Dira Abu Zahar dan Abu Bakar Omar.