Berada dalam skop filem genre patriotik, idea penghasilan Malay Regiment terbitan Malay Evolution Brain pada asalnya adalah demi kasih sayangnya terhadap seorang lelaki bergelar bapa.

Penerbit, Datuk Jurey Latiff Rosli mengenang semula Allahyarham bapanya, Kapten (B) Mohd Rosli Yahya yang pernah berjuang bersama perajurit tanah air, sekaligus dedikasi terhadap semua yang pernah berjuang kepada negara tercinta ini.

Sering berkongsi cerita dan pengalamannya ketika berada dalam ketenteraan, sebagai anak tentera, jiwa Jurey, sudah sebati dengan nilai-nilai patriotisme.

Filem genre patriotik sentiasa memberikan getar rasa yang mengujakan pada dirinya kerana nilai sentimental yang ada menerusi perkongsian cerita bersama arwah bapanya.

Menganggap hero yang tidak didendangkan juga wajar diberi ruang penghargaan, misi Malay Regiment untuk mengangkat kisah benar mengenai 11 perajurit negara yang terkorban pada 1976 apabila helikopter mereka ditembak jatuh pengganas komunis.

“Bagaimanapun, filem ini tidak terarah pada fakta itu sahaja. Sebaliknya ia dikembangkan kepada plot-plot penceritaan lain menerusi watak yang dicipta. Saya mahu mesej yang diselitkan sampai kepada masyarakat, tidak cuma mengenai pertempuran atau peperangan, tetapi titik utamanya adalah pada pengorbanan yang dilakukan oleh semua perajurit yang mempertahankan negara,” katanya yang sebelum ini pernah menerbitkan Paloh.

Filem patriotik sedia ada

Malay Regiment adalah antara beberapa buah naskhah filem sejarah yang wajar diberi perhatian selepas penonton sudah terbiasa dengan filem seperti Matinya Seorang Patriot, Leftenan Adnan, Hati Malaya mahupun Tanda Putera yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini.

Meski turut mencipta kontroversi tersendiri apabila ada yang mengaitkannya dengan agenda politik, Malay Regiment, tiada lain, dihasilkan pada paksi untuk menerapkan semangat cintakan negara di samping menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air.

Ia mungkin dilihat sama sebagaimana filem-filem yang dihasilkan sebelum ini menerusi versi masing-masing, namun intipati mana-mana filem yang dinyatakan kalau diperhatikan tetap akan terarah pada tujuan dan objektif yang sama.

Contoh filem yang sehingga kini tetap malar segar sepanjang zaman, Sarjan Hassan yang dihasilkan pada 1958. Dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini mengangkat erti perjuangan tentera Tanah Melayu ketika menentang Jepun.

Watak utama Hassan digambarkan sebagai anak muda yang mempunyai jiwa besar untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara. Malah, kesungguhan dan perjuangan Sarjan Hassan bersama rakan-rakannya dalam mempertahankan keselamatan negara ketika di medan pertempuran menjadi tarikan pada penonton meskipun ada dalam kalangan mereka menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri.

Sebuah lagi filem menarik sempena penghayatan bulan Kemerdekaan yang menekankan erti perjuangan adalah Bukit Kepong yang dihasilkan pada 1981.

Diarah dan dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, filem ini membawa kisah benar serangan komunis di Bukit Kepong.

Filem yang turut dilakonkan oleh A Rahim, Hussein Abu Hassan dan Datuk Yusof Haslam ini pernah memenangi lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia ketiga, antara filem yang memberi kesan mendalam buat penonton lantaran mengisahkan semula pertempuran anggota polis dengan komunis sehingga nyawa mereka terkorban.

Menjengah era 2000, filem sejarah yang boleh diklasifikasikan terbaik adalah menerusi filem 1957: Hati Malaya yang diarahkan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Membawa kelainan daripada watak perjuang kemerdekaan ketika mempertahankan Tanah Melayu, filem ini menyingkap sejarah pejuang negara menerusi lima watak anak muda pada zaman selepas merdeka iaitu Hali(Rusdi Ramli), Salmi (Maya Karin), Rafik (Adlin Aman Ramlie), Ani (Sharifah Amani) dan Ang Lee (Douglas Lim) yang cuba memahami peristiwa bersejarah yang pernah berlaku.

Filem ini memfokuskan zaman Tunku Abdul Rahman ketika mahu mendapatkan kemerdekaan negara dan Datuk Onn Jaafar yang membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang penubuhan Malayan Union.

Filem yang ditayangkan pada 2007 ini berjaya meraih lima anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan dua anugerah iaitu Anugerah Khas Juri dan Penataan Bunyi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2008.

Patriotisme, bukan komersial

Tahu bahawa tidak banyak filem-filem patriotik dihasilkan dalam negara sehingga mengehadkan sumber rujukan, Jurey juga tidak terkecuali menerima pertanyaan mengapa tidak bertumpu pada penghasilan filem yang lebih komersial yang menjadi pilihan selamat kebanyakan penerbit dan pengarah tempatan.

Bagi Jurey, tiada sebab lain dan ia tentunya kerana dia mahu memberi sumbangan kepada negara menerusi bidang yang sudah diterajui selama lebih 20 tahun.

“Kalau dilihat memang tak banyak filem patriotik dihasilkan kerana sambutannya juga tidak sehebat penghasilan filem komersial. Tetapi bila difikirkan semula, siapa lagi yang nak buat filem begini andai semuanya mahu bertumpu pada filem bernilai komersial?

“Mungkin juga tak dapat sambutan kerana naskhah yang dihasilkan tidak benar-benar sampai ke hati penonton, tidak bagus, tidak digarap dengan baik atau tidak mempunyai elemen patriotisme yang kuat.

“Pendekatan filem patriotik kadangkala tidak cuma pada elemen peperangan atau pertempuran sahaja, macam Malay Regiment, ia berbeza kerana saya tonjolkan juga sisi perasaan isteri, keluarga dan ada dua era sebagai paparan jalan cerita,”katanya.

Menganggap semangat patriotisme itu harus dipupuk daripada pelbagai lapisan masyarakat, Jurey mengaku sayang sekali naskhah bercorak patriotik tidak banyak dihasilkan sedangkan sebenarnya ia juga penting untuk membantu memupuk usaha itu.

“Ramai yang nak buat filem tapi lebih mementingkan nilai keuntungan. Secara peribadi, saya rasa wajar untuk anak seni kita memperbanyakkan naskhah sejarah negara kerana sekurang-kurangnya kita dapat memberi sumbangan kecil untuk negara.

“Saya tak menolak pada masa akan datang, tentu ada yang mahu menjadikan filem-filem seperti ini sebagai rujukan sejarah dan ia berguna buat generasi demi generasi,” katanya.