Pun begitu, bagi lelaki ini perkara berkenaan memberikan isyarat positif. Ini bukti kehadirannya diterima baik, bukan sekadar bersandarkan kepada paras rupa sebaliknya melalui lagu-lagu yang pernah dipopularkan olehnya satu masa dahulu.

“Saya sedar orang mula bercakap tentang perkara tersebut sejak akhir-akhir ini. Bila muncul sahaja di kaca televisyen, orang terus memberikan maklum balas dan komen. Sama ada baik atau buruk saya terima sahaja.

“Berbeza pada awal kemunculan dahulu sekitar 1995 apabila peminat perlu menunggu majalah atau surat khabar berada di pasaran. Bila dah ada mereka utus surat pula untuk memuji atau mengeji yang pastinya ambil masa yang panjang untuk sampai kepada kita,” katanya dalam tertawa.

Walaupun menerima pujian mahupun godaan di laman sosial yang tak kurang hebat, Zarul beruntung kerana isterinya tidak pernah cemburu dengan perkara berkenaan.

Ini membuatkan hatinya tenang untuk bekerja, apatah lagi wanita bernama Intan Nur Fathihah itu tidak pernah mengambil berat komen-komen peminat yang bersifat seksis.

“Untungnya dia tidak pernah cemburu bila melihat komen-komen peminat atau berita 'panas' di media sosial. Kalau cemburu mungkin agak susah juga tetapi nampaknya setakat ini, dia sentiasa faham dan menyokong kerjaya seni saya sama macam dulu juga.

“Dia sendiri boleh tahu itu komen daripada peminat. Tak mungkin perkara tersebut akan menjadi isu besar pada kami berdua,” kata Zarul lagi.

Tentang isu populariti pula, penyanyi yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka ini menganggap perkara berkenaan tidak akan membuatkan dia terbuai dengan limpahan glamor yang dikecapi kini.

Katanya fenomena yang diterimanya ini sudah pernah dilalui pada awal kemunculan Umbrella satu ketika dahulu. Tentunya dia sudah mampu mengawal perkara berkenaan dengan baik.

“Saya pernah popular dan digilai satu masa dahulu. Bila senyap, terus tak dikenali beberapa tahun lamanya. Pendek kata saya sudah rasa putaran roda itu. Tak ada apa yang akan berubah dengan peribadi saya termasuklah dalam soal wanita,” katanya berjenaka.

Dilema

MENGAKUI yang dia masih dalam dilema sama ada untuk melepaskan jawatan sebagai pramugara di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) atau tidak, tegas Zarul perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan sehingga ke hari ini.

Baginya dia masih menimbang tara untuk melepaskan jawatan yang sudah disandang sejak 16 tahun yang lalu.

“Memang dalam dilema sehingga ke hari ini. Banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan besar dalam hidup. Saya sendiri masih sayangkan pekerjaan tersebut.

“Tapi bila melihatkan sambutan yang diterima melalui bidang nyanyian, tentu sahaja itu menjadi minat sejak dahulu. Tengoklah keadaan, bila dah buat keputusan nanti saya akan beritahu semua,” katanya.

Ditanya adakah dia ada meminta pandangan daripada rakan-rakan di MAS, tegas Zarul mereka sangat memberikan sokongan dan dorongan walau apa sahaja pilihan yang dibuat.

Jika mahu meneruskan pekerjaan sebagai pramugara, dia akan menamatkan perkhidmatan sehingga ke usia 55 atau 60 seperti yang termaktub di dalam perjanjian.

Mengakui ada kala timbul perasaan bosan untuk berada pada takuk yang sama, perkara berkenaan perlu diambil kira tanpa menolak perasaan sayang pada tugas yang sudah sebati dalam dirinya.

Mengulas mengenai bidang seni pula, Zarul sudah merangka beberapa rencana termasuklah merakamkan lagu baharu tahun hadapan. Ketika ini dia masih lagi mahu mempromosikan lagu Jangan Pernah yang dilancarkan awal tahun ini.

“Saya perlu mencari cara untuk menyeimbangkan kerjaya bermula sekarang. Ketika orang tengah suka, saya perlu ambil peluang. Tak boleh terlambat nanti ketinggalan,” kata Zarul penuh makna.