Menurut anaknya, Faizul Hafiz Hashim, 32, walaupun ibunya sudah sedar dan memberi reaksi kepada orang sekeliling, namun keadaannya masih belum pulih sepenuhnya.

“Memang emak dah sedar dan buka mata pada pukul 12.45 tengah hari tadi tapi masih mamai lagi. Emak perlu mendapatkan perhatian yang lebih rapi.

“Emak dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam selepas mengadu sakit kerana seminggu sebelum ini emak baru menjalani pembedahan kerana komplikasi penyakit kencing manis. Bila doktor sahkan dia boleh keluar dari hospital, kami bawa balik rumah dan dia kemudian mengadu sakit semula.

“Biasalah bila badan sudah banyak ubat dan kena bius menyebabkan kandungan air dalam badan banyak menyebabkan berlakunya jangkitan paru-paru,” jelas Faizul Hafiz kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Makcik Petir kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan doktor sedang berusaha untuk memulihkan beliau daripada jangkitan paru-paru yang dihadapinya.

“Sekarang keadaan kritikal ibu disebabkan oleh jangkitan paru-paru dan penyakit kencing manisnya setakat ini tidak ada masalah selepas pembedahan. Apa-apa pun kami sekeluarga bersyukur kerana ibu kembali sedar,” kata anak ketiga Noryati itu lagi.

Faizul Hafiz turut memberitahu, ibunya sudah lama disahkan menghidap penyakit kencing manis dan setiap kali berada di set penggambaran, kru-kru sering mengingatkan ibunya supaya mengelak daripada mengambil minuman bergula.

“Kru-kru selalu pesan Mak Uda (Noryati) jangan minum manis dan emak memang kawal bab itu, tapi siapa sangka luka di kaki sebelah kiri yang kita ingat sudah pulih rupa-rupanya baik luaran sahaja. Itu yang dia perlu menjalani pembedahan sebelum ini,” katanya yang pernah berlakon bersama ibunya dalam drama Tari Kirana dan Sinderella.

Kata Faizul Hafiz, drama terakhir lakonan ibunya adalah Menantu Malam dan keadaan kesihatan ibunya menjadi kurang memuaskan selepas sambutan Aidilfitri pada Jun lalu. - UTUSAN ONLINE