Hasil tangkapan laut itu, hanya perlu disiang, dibasuh bersih dan kemudiannya direbus atau dibakar dan ini sudah cukup memecah selera.

Nasi panas dengan ikan bakar, ketam dan kupang rebus, cecah air asam dengan bawang besar, cili padi yang dipecah-pecah serta sedikit belacan terasa cukup enak. Alahai... itu sekadar kenangan lalu.

Kebetulan Tawau, Sabah merupakan syurga makanan laut segar.

Sudah tentu anda yang tinggal di Lembah Klang tercari-cari makanan laut segar dan sos yang enak. Mahu menampilkan kelainan, Restoran Stesen Makan memilih makanan laut sebagai hidangan utama. Setiap makanan dihidang beralaskan daun pisang. Aroma ala kampung pasti menggamit selera anda.

Dengan promosi, “Makan di sini lebih murah daripada kita masak sendiri”, restoran ini mengajak para pelanggannya mencuba pelbagai jenis makanan laut dan merasainya dengan kadar bayaran serendah RM6.

Menurut pengasas Stesen Makan, Datin Ros Ramlan, terdapat dua konsep makanan di sini iaitu menu siang dan malam.

“ Menu siang terdiri daripada makanan tengah hari iaitu set nasi bersama asam pedas dan air sirap. Kami menawarkan harga promosi untuk set ini serendah RM6.90.

“Pada sebelah malam, kami menyediakan nasi goreng makanan laut yang dihidang bersama daun pisang, Selain itu, terdapat pelbagai jenis ikan bakar, sotong dan udang bakar,” katanya.

Menariknya, pelanggan boleh menyaksikan sendiri tukang masak menggoreng nasi mahu pun membakar makanan laut lain. Konsep masak secara terbuka menjadi tarikan kerana pelanggan lebih yakin dengan kebersihan yang diamalkan. Nasi goreng tersebut disediakan untuk 10 hingga 15 orang sekali gus.

Kebanyakan menu di sini diinspirasi daripada resepi Cina. Tambah Ros, kebanyakan sos yang digunakan merupakan resepinya sendiri.

Bercerita tentang pemilihan nama, Ros memberitahu nama tersebut dipilih oleh suaminya, Datuk Mohamad Zawawi Salleh.

“Stesen membawa maksud tempat perhentian atau tempat yang mempunyai peralatan khas untuk memberikan sesuatu perkhidmatan atau menjalankan aktiviti tertentu. Secara spontan, kami memikirkan Stesen Makan sesuai dan lebih santai,” katanya.

Tambah Ros, dia akan memastikan setiap hidangan dijaul pada harga mampu milik.

Stesen Makan dibuka setiap hari dan untuk makan tengahari, pelanggan boleh datang pada pukul 11 pagi hingga 4 petang manakala 6 petang hingga 12 tengah malam untuk makan malam.