Daripada TV, Erma berani mengambil risiko untuk membawa karya itu ke pentas teater dan percaturan Erma membuktikan bahawa Mak Cun benar-benar melekat di jiwa khalayak apabila naskhah itu berjaya melakar kutipan pecah panggung pada tahun lalu.

Membawakan kegemilangan dan warna-warni dunia Mak Cun, Erma sekali lagi hadir dengan inisiatifnya mementaskan teater tersebut di Istana Budaya bermula 4 November hingga 13 November depan.

Cuma uniknya kali ini, kata Erma yang juga pengarahnya, Mak Cun akan dipentaskan dengan cara dan gaya yang berbeza dengan mengambil pendekatan kemeriahan dunia muzikal Bollywood sebagai suntikan baharu dalam pementasan kali ini.

Menurut Erma, sejajar dengan judul yang diberi iaitu Mak Cun D’Walei, penonton akan disajikan dengan suasana seolah-olah berada di India.

“Orang kita dari dulu memang suka menonton filem Bollywood. Jadi tiada salahnya untuk saya ambil elemen itu dan memberi suntikan baharu kepada naskhah Mak Cun untuk menyajikan sesuatu yang berbeza kepada penonton.

“Kebetulan juga sebelum ini filem Dilwale mendapat sambutan dalam kalangan peminat dunia Bollywood.

"Jadi saya pinjam judul itu untuk teater kali ini yang dilihat sesuai dengan maksudnya berjiwa besar,” katanya.

Abam kagum

Dalam pada itu, pelawak Abam yang juga kali pertama berlakon di pentas teater mengakui berbangga dengan peluang terbabit dalam naskhah teater ini.

Sebagai orang yang masih baharu dalam dunia pementasan teater, banyak yang perlu dipelajari malah katanya, dia tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan terbabit dalam Mak Cun.

“Sejak dari dulu, saya sangat mengagumi karya-karya pengarahan Erma dan bagi saya, dia adalah antara pengarah yang bijak mengolah penceritaan dengan gayanya yang tersendiri.

“Jadi adalah menjadi satu kerugian buat saya andai saya menolak tawaran daripadanya kerana peluang keemasan seperti ini bukan selalu berlaku kepada kita.

“Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dan diharapkan semua orang akan terhibur dengan pementasan ini kelak,” katanya.

Tiket berharga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156 dan RM256 (tidak termasuk GST) boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com mulai 25 Oktober.

Eksklusif Amy buat Erma

Antara daya penarik utama untuk pementasan Mak Cun D’Walei tentunya kehadiran kelibat figura legenda rock Amy Search yang sudi memberikan lampu hijau untuk membintangi teater ini.

Menurut Erma, dia sengaja memilih Amy demi mencabar penyanyi tersebut untuk kembali ke pentas lakonan.

Hal ini diakui oleh Amy sendiri yang sudah lama tidak berlakon.

“Saya akui mengambil masa yang agak lama untuk bersetuju. Satu, kerana saya sudah lama tak berlakon. Kali terakhir pada 1989 untuk filem Isabella.

“Kemudian saya bimbang juga kerana ini pentas teater, tak sama dengan drama atau filem. Saya agak gementar sebenarnya.

“Tapi Erma sudah lama pujuk saya untuk berlakon dengannya. Dia ini kawan baik saya dan isteri, jadi susah untuk saya menolak, lagipun dia kata saya cuma menjadi diri sendiri dalam teater ini,” kata Amy yang akan membawakan watak bintang rock yang pandai memasak.

Mengaku agak gementar, kata Amy, dia bagaimanapun akan cuba memberikan yang terbaik kepada naskhah Mak Cun yang mempunyai ramai pengikut ini.

Tidak cuma itu, kata Amy yang buat julung kalinya akan berlakon di pentas teater, dalam nada berseloroh dia juga memberitahu barangkali kalau bukan Erma Fatima, dia tidak akan mudah memberikan kata persetujuan.

Selain itu, kata Erma, tajuk itu juga dipilih kerana ia sesuai dengan karektor Mak Cun itu sendiri yang sentiasa berfikiran positif dalam usaha membawa jenama produknya ke luar negara.

“Kita akan paparkan Mak Cun akan ke India bagi mencari resipi rempah terbaik. Dia akan ditemani oleh Manisah yang beria-ia mahu menemaninya.

“Pementasan Mak Cun D’Walei juga akan memutarkan lagu-lagu hits dan popular baharu dan lama Bollywood.

“Tentu sekali itu memberikan sesuatu yang istimewa buat penonton dan boleh membuatkan mereka turut sama menyanyi dalam dewan,” katanya yang turut memberitahu pengarah muzik bagi pementasan itu digalas oleh Edry Abd Halim.

Tugas pengarahan turut digalas bersama-sama A. Aris Kadir manakala barisan pelakon pula terus diungguli oleh Umie Aida (Manisah), Datuk Rahim Razali (Pak Akob) dan Balkisyh Semundur Khan (Atul).

Tidak cuma itu, antara pelakon baharu yang akan membintangi pementasan teater ini ialah pelawak Abam Bocey, Fathia Latiff dan Nadia Brian serta pelakon cilik, Haidar selain seorang pelakon lelaki kacak dari Pakistan iaitu Saim Ali.

Kongsi Erma, Saim diambil sebagai pelakon teater Mak Cun kali ini kerana ketampanan wajahnya selain dilihat kena dengan watak yang diberikan.

“Saya terjumpa Saim ketika membuat carian di Google dan selepas itu saya tonton video lakonannya menerusi filem dan iklan di YouTube.

“Kebetulan saya ada kawan di Pakistan dan dari situ kami berhubung menerusi telefon dan dia bersetuju untuk terlibat dalam pementasan teater ini,” jelas Erma.

Orang kita dari dulu memang suka menonton filem Bollywood. Jadi tiada salahnya untuk saya ambil elemen itu dan memberi suntikan baharu kepada naskhah Mak Cun