Maisyarah Mazlan
Maisyarah Mazlan

Katanya, dia sengaja memilih mahu mementaskan naskah yang pernah di bawanya tiga tahun lalu sewaktu belajar di Indonesia di bawah penyeliaan Institut Persembahan Garasi kerana ingin melihat hasil dari aspek pengarahannya pula.

“Naskah ini sebenarnya agak berat dan ia pernah dipentaskan sebanyak dua kali di Yogyakarta, Indonesia.

“Namun setelah menerima tawaran untuk membuat pementasan di TOP Studios, saya terus terfikir untuk berkongsi naskah ini kepada khalayak,” katanya kepada Utusan Online.

Ujar Maisyarah, monodrama Erendira dan Angin Petakanya sebenarnya diadaptasi dari novella Gabriel García Márquez yang berjudul ‘Innocent Erendira and Her Soulless Grandmother’.

“Ia mengisahkan perihal seorang gadis bernama Erendira yang dilayan seperti hamba dan terpaksa dilacurkan oleh neneknya sendiri akibat satu kesilapan kecilnya iaitu menyebabkan rumah neneknya terbakar.

“Sewaktu dilacur, Erendira bertemu dengan seorang pelanggan bernama Ulises dan mereka telah ditakdirkan jatuh cinta antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Online.

Tambah Maisyarah lagi, konflik mula berlaku apabila Ulises terdetik hati mahu menyelamatkan Erendira daripada suasana ‘kotor’ itu namun berjaya atau tidak, itu harus disaksikan sendiri oleh penonton.

Hilmi Rushdi @ Sakdon
Hilmi Rushdi @ Sakdon

Menurut pemilik TOP Studios, Hilmi Rushdi atau lebih mesra dengan panggilan Sakdon, dia sangat berbangga kerana sebuah karya dari luar dapat dipentaskan di ruang studio mini yang berkonsepkan teater bajet.

“Oleh kerana jiwa karya ini sangat besar, saya sendiri tidak sabar rasanya untuk menyaksikannya dan saya mahu monodrama ini turut ditonton orang ramai bersama-sama,” katanya. 

Monodrama Erendira dan Angin Petakanya diterbitkan oleh The Maisyarah Mazlan Project dengan kerjasama TOP Studios dan ia menampilkan Shalia Shuid sebagai pelakon utamanya.

Harga tiket bagi monodrama ini adalah RM15 bagi dewasa dan RM12 bagi pelajar. Sebarang info lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 018-9771543 serta 013-4944799. – UTUSAN ONLINE