Malah, budaya kuning itu satu tabu pada pandangan masyarakat kerana dianggap merupakan gejala negatif pada remaja.

Namun, baru-baru ini, filem Ophilia yang merupakan filem pertama tempatan yang mengetengahkan budaya Skinhead sebagai subjek utama dalam plot ceritanya.

Kontroversi filem ini yang dibintangi oleh Que Haidar, Pekin Ibrahim dan Kodi nyata berjaya mencuri tumpuan untuk memperkenalkan filem Ophilia.

Bagi Que, dia mempunyai sebab tersendiri menerima tawaran kerana sebelum ini pernah memberitahu untuk memilih sesetengah tawaran filem sahaja.

Jelas suami kepada Linda Jasmine ini, dia memang menantikan watak anti hero memandangkan fizikalnya yang tidak berapa sesuai untuk memegang watak hero.

“Ketika mula-mula saya dapat skrip filem Ophilia, saya dapat rasakan watak Ozi Gandum adalah salah satu watak yang saya mahukan.

“Apatah lagi filem ini adalah watak seorang Skinhead dan saya memang sudah lama menantikan watak-watak yang sebegini,” katanya.

Jelas Que lagi, zaman sekarang bukanlah waktu untuk dia memperkenalkan diri sebagai seorang pelakon lagi kerana sebahagian besar khalayak sudah mengetahui akan kemampuan dirinya dalam kerjaya berkenaan.

“Dahulu ya, waktu itu saya memang perlu berlakon untuk memperkenalkan diri saya dalam industri. Tapi kini ia sudah berlalu.

“Sekarang ialah waktu di mana saya mencari karya-karya yang saya mahu lakukan, puaskan hati sendiri. Dan itu antara sebab saya pilih berlakon dalam filem ini,” jelasnya.

Filem Ophilia adalah terbitan antara dua syarikat iaitu SPS Jaya Sdn. Bhd dan Elevenfield Sdn. Bhd. dan merupakan sebuah filem berbajet kecil.

Tambah Que lagi, memegang watak sebagai seorang Skinhead memerlukan dia untuk mengkaji bagaimana karakter seorang Skinhead.

“Banyak filem skinhead seperti This Is Skinhead yang saya tonton untuk mendalami tentang budaya mereka. Malah, Pekin juga turut membawa saya berkenalan dengan kumpulan Skinhead tempatan,” ujarnya.

Bagi Que lagi, filem ini bukanlah semata-mata mahu menunjukkan budaya Skinhead, tetapi ada nilai tertentu yang ingin disampaikan.

“Ramai yang melihat Skinhead sebagai gejala negatif dan sebagainya, tetapi sebenarnya ia juga ada elemen positif dalam diri mereka. Tidak kesemua yang wujud dalam diri mereka negatif seperti dianggap oleh masyarakat.

“Jadi, tidak sepatutnya kita menilai seseorang itu dengan hanya luaran mereka sahaja dan itulah yang ingin dipaparkan dalam filem ini,” jelasnya.