Bagi pasaran Melayu, nama Emily masih asing. Tetapi keterujaan membintangi filem KL Wangan yang baru sahaja selesai penggambaran membuka langkah kakinya untuk terus menerobos pasaran filem Melayu yang pastinya memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Untuk pasaran Cina, nama saya bukan asing tapi saya sedar nama Emily Lim kurang dikenali bagi pasaran Melayu. Saya mahu mencuba nasib dan memberanikan diri untuk mengembangkan bakat. Apa pun terjadi saya kena mencuba.

“Setidak-tidaknya saya tahu kekurangan diri dan akan memperbaiki kelemahan yang ada,” kata Emily yang boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Bagi pelakon yang berdarah Peranakan Baba dan Nyonya dari Melaka ini, dia sebenarnya cuba untuk memperkemaskan pertuturan Bahasa Melayu dari sehari ke sehari kerana perkara tersebut penting buat perkembangan kerjayanya.

Pengalaman berada di set KL Wangan arahan Pekin Ibrahim benar-benar menguji dirinya. Bukan tidak fasih menggunakan Bahasa Melayu tetapi dia perlu belajar cara bercakap yang betul agar tidak terlihat janggal di dalam skrin bila ditayangkan nanti.

“Saya beruntung kerana Pekin dan beberapa pelakon lain seperti Faizal Hussein banyak memberikan tunjuk ajar. Mereka bukan sahaja mengajar teknik lakonan malah turut mengajar cara sebutan yang betul setiap patah perkataan.

“Bila tamat sahaja penggambaran, saya perlu ke kelas Bahasa Melayu. Saya perlu mengasah kembali pertuturan agar tidak menimbulkan sebarang masalah apabila terlibat dengan tawaran lain pada masa depan,” kata Emily lagi.

Pun begitu wanita ini berterima kasih kepada pihak produksi KL Wangan yang membuka jalan untuknya memperkenalkan diri kepada peminat Melayu di sini.

Katanya, peluang yang diberikan itu tidak pernah dipersiakan walaupun dia tahu perkara ini akan memberikan cabaran yang besar terutama untuk memahami cara kerja produksi filem Melayu memandangkan dia sudah terbiasa dengan produksi pasaran filem dan drama Cina tempatan.

“Memang benar cara kerja antara kedua-dua pasaran ini sangat berbeza. Saya beruntung kerana tidak menghadapi banyak masalah apabila bekerjasama dengan mereka. Mereka banyak memberikan bantuan dan teknik yang perlu dipraktikkan untuk mencapai objektif,” tambah Emily.

Kejayaan

SEBELUM bergelar pelakon popular, Emily terlebih dahulu bergelar peragawati dan terlibat dalam puluhan iklan komersial di awal pembabitannya. Semuanya bermula apabila dia memberanikan diri menyertai pertandingan pencarian bakat oleh salah sebuah stesen televisyen tempatan.

“Waktu itu saya baru menghabiskan pelajaran dan kebetulan memerlukan wang untuk membantu keluarga. Bapa saya mempunyai banyak hutang dan saya perlu membantu ibu yang turut kesempitan wang akibat beberapa masalah.

“Tak sangka pula berjaya sampai ke peringkat akhir. Wang kemenangan dan beberapa hadiah yang diterima saya jual untuk melangsaikan hutang mereka. Tak mengapalah asalkan semuanya selesai sudah memadai,” dedah graduan Universiti Putra Malaysia ini lagi.

Walaupun pada peringkat awal tidak mahu bergelar pelakon, Emily beruntung kerana wajahnya sering kali menjadi perhatian dan ditawarkan untuk membintangi banyak iklan komersial dalam dan luar negara.

Wajahnya bukan sahaja boleh terpampang di kebanyakan iklan tempatan tetapi juga pernah menghiasi iklan di Thailand, China, Korea Selatan, Vietnam, Filipina, Singapura dan Dubai.

“Berselang tahun saya mula dapat banyak tawaran berlakon. Daripada mencuba nasib, akhirnya menjadi kerjaya dan saya banyak belajar tentang selok belok dunia lakonan sejak 2009.

“Cuma tahun ini sahaja baru ada peluang masuk ke pasaran Melayu. Tentu sahaja saya teruja dan tak sabar untuk melihat impaknya nanti,” tambahnya yang sudah membintangi puluhan drama dan filem termasuk di Singapura.

Terkini, Emily mampu menarik nafas lega apabila percubaan untuk melebarkan sayapnya sudah bermula apabila diterima untuk membintangi drama bersiri Foreign Body untuk siaran stesen BBC yang berpangkalan di London.

Walaupun drama bersiri tersebut akan disiarkan tahun depan, dia sendiri sudah melangsaikan keseluruhan babak penggambaran beberapa bulan lalu dan hanya menunggu tarikh tayangan sahaja.

“Saya orang yang rajin hadir ke sesi uji bakat. Di mana ada peluang, di situ saya akan pergi. Tak sangka pula mereka menerima saya dan dua lagi pelakon Malaysia,” cerita Emily.