Diuji dengan insiden yang menimpa suaminya Farid Kamil sejak beberapa bulan yang lalu, hati isteri mana yang mampu menahan gelojak. Kepedihan, kepayahan dan segala masalah menyatu bagaikan tiada kesudahan ketika itu.

“Apabila diuji barulah saya dapat melihat kasih sayang orang sekeliling terhadap kami sekeluarga. Kepada yang mengata, saya tiada masalah dengan mereka tetapi kepada yang tak putus-putus memberikan semangat, doa anda amatlah saya hargai.

“Apa yang boleh saya simpulkan, saya okey sahaja dalam mendepani masalah yang berlaku, akan setia di sisi dia. Tiada apa-apa yang hendak dikesalkan. Yang penting, saya mahu Farid menguatkan semangat untuk berhadapan dengan masalah ini,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Walaupun dibadai dengan beberapa tuduhan jenayah, dia yakin suaminya mampu untuk mengharungi perkara berkenaan. Pun begitu dalam satu hal lain, dia mengakui yang rumah tangga yang dibina masih berada pada landasan yang betul.

Kata-kata tersebut adalah jaminan sambil menolak andaian yang rumah tangga mereka berantakan seperti mana yang dikatakan oleh segelintir pihak. Bukan seorang dua yang berkata begitu, sebaliknya ramai!

Mengetahui perkara tersebut pernah menjadi sebutan ramai pihak, dia hanya berdiam diri bagi menjawab spekulasi yang bertebaran. Baginya, orang luar tidak mengetahui apa-apa dan biarlah mereka terus bercakap sendirian.

“Saya merupakan wanita terbahagia ketika ini. Apa lagu yang kami tak lalui bersama sehingga ke saat ini? Sebelum ini pun kami sudah melalui pelbagai dugaan bersama dan masing-masing akhirnya tahu cara untuk memulihkan kembali rumah tangga kami.

“Sebab itu saya anggap ujian yang menimpa Farid ketika ini tidak sebesar mana. Kasih sayang kami bertambah utuh saat ujian datang dan pada akhirnya hanya saya dan dia sahaja yang tahu erti kemanisan dalam perhubungan,” tutur Diana lembut.

Tambah pelakon yang popular dengan filem Hanyut ini lagi, dia menganggap ujian yang menimpa Farid kecil berbanding dengan dugaan yang menimpa insan lain. Ada di antara mereka yang putus harapan sehinggakan buntu untuk menyelesaikan masalah sendiri.

Farid pula masih mampu untuk merencanakan apa yang terbaik dalam berhadapan dengan masalah dan pastinya sebagai isteri dia akan sentiasa ada bersama lelaki yang amat dikasihinya itu.

 

BERUNTUNG

MENGAKUI dia beruntung kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan amat memahami dirinya, tegas Diana perkara tersebut bukanlah satu ‘anugerah’ percuma sebaliknya memerlukan komitmen, kerja keras dan kepercayaan di antara satu sama lain.

Sejak bernikah enam tahun yang lalu masing-masing sudah melalui pelbagai cabaran sehingga membuatkan dia dan Farid memahami di antara satu sama lain serta menerima segala kekurangan.

“Betul kata orang, lima tahun pertama dalam perkahwinan adalah satu tempoh masa yang sangat kritikal. Seandainya kita mampu mengharungi fasa tersebut bersama, insya-Allah hubungan tersebut mampu bertahan sampai bila-bila.

“Saya tidak mengatakan perkahwinan kami sempurna. Kami sudah melalui fasa baik dan buruk bersama-sama. Apa lagi yang kami tak bertelagah? Semuanya sudah dirasai! Bila ujian baru datang menjengah, saya akan sentiasa ada untuknya,” kata Diana lagi.

Pastinya apa yang diperkatakan oleh Diana ada benarnya. Paling penting jangan mengharapkan kesempurnaan dalam rumah tangga memandangkan perkara tersebut tidak akan terjadi kepada mana-mana pasangan.

Saling percaya mempercayai dan disulami dengan sikap reda menerima baik dan buruk menjadi kunci kepada kerukunan rumah tangga. Sekiranya perkara ini diadaptasi dalam perkahwinan, kemanisannya tetap akan dirasai oleh sesiapa sahaja.

Bertanyakan pula tentang sisi peribadi suaminya ketika ini, dia menegaskan yang lelaki berkenaan masih orang yang sama seperti dahulu. Masih mementingkan keluarga dalam apa juga keadaan, perkara itu sudah cukup membuatkan dia bahagia.

“Paling beruntung apabila memiliki lelaki sebaik Farid. Dia tidak banyak perangai dan sentiasa positif dalam mendepani apa juga masalah. Sikap-sikap begitulah yang membuatkan saya yakin dia mampu melalui apa sahaja ujian mendatang.

“Sebagai isteri pula, saya tak perlu nak terkocoh-kocoh bila berhadapan dengan ujian hidup. Kerana pada akhirnya keadaan akan kembali normal seperti biasa,” katanya penuh makna.

 

Tidak sesekali abaikan anak-anak

MENDEPANI ujian getir, pesan Diana anak-anak jangan sesekali diabaikan. Walaupun mereka masih kecil dan belum mengerti apa-apa, perasaan Muhammad, 5 tahun dan Aurora, 2, tidak pernah diketepikan semata-mata mahu memuaskan hati sendiri.

Segala tindakan memerlukan kewarasan akal fikiran dan bagi Diana pula, saat Farid dibebani dengan masalah sendiri dia pula perlu mengemudi bahtera di dalam rumah sendiri seperti biasa.

“Kalau cakap fasal emosi, hanya Farid sahaja yang tahu apa yang bersarang dalam hati ini. Rasanya semua orang pun dah boleh meneka apa yang berlaku kepada saya saat dia meringkuk di dalam lokap.

“Tapi kalau saya terbuai dengan emosi, bagaimana pula nak menguruskan anak-anak? Sebab itu saya mendahulukan mereka terlebih dahulu dan pada akhirnya semuanya berjalan dengan lancar sahaja,” tambahnya.

Kesabaran Diana berbayar apabila Farid tidak pernah sesekali meminggirkan mereka. Jika tiada sebarang urusan pekerjaan dan sebagainya, lelaki berkenaan hanya duduk di rumah dan memantau anak-anak.

Diana pula sudah boleh keluar bekerja dan terlibat dalam beberapa program hiburan seperti zaman bujangnya dahulu.

“Anak-anak sudah semakin membesar dan Farid pula boleh menjaga mereka. Jadi saya ambil peluang untuk kembali aktif dalam bidang seni. Walaupun semakin sibuk dengan pelbagai pekerjaan, mereka tidak saya pinggirkan.