Pemergiannya sungguh tidak disangka dan mengundang hiba seluruh peminatnya. Kredibiliti serta aura seorang pengacara versatil semestinya akan terus kekal dalam ingatan setiap daripada kita.

Utusan Online menghimpunkan ucapan takziah dan coretan secebis memori indah daripada kenalan terdekat serta peminat yang pastinya akan merindukan insan seni berhati mulia ini, Al Fatihah.

“Takziah buat ahli keluarga Allahyarham Dato Mahadzir Lokman. Semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya. Jasa beliau cukup byk dalam industri pengacaraan di Malaysia. Al Fatihah.” - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mahaguru bidang pengacaraan. Suara latar sepanjang generasi.” - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

“Guru saya ketika mula bertugas di TV3, Datuk Mahadzir Lokman baru sahaja meninggal dunia. Saya bersama semua akan tetap mengingati segala jasa baiknya selama ini.” - Tengku Elida Bustamam.

“Banyak kenangan bersama arwah, salah satunya arwah menjadi pengacara di Konsert Royal Albert Hall, London. Arwah seorang yang suka memberi ilmu serta baik hati. Semoga di sisi insan-insan beriman di sana .” - Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Setiap kali kami bertugas bersama, dia tidak pernah gagal memperkenalkan kami sebagai pengacara bersaiz besar, kuat dan ramah. Anda adalah inspirasi keami semua. Saya sentiasa kagum dengan pengacaraan anda. Sentiasa motivasi diri untuk jadi sehebat anda. Al Fatihah.” - Adibah Noor.

“Al Fatihah. Beliau sangat baik kepada saya ketika usia saya 17 tahun dan ketika itu, saya sangat gugup untuk berlakon di atas pentas teater pertama saya di Malaysia.” - Maya Karin

“Satu kehilangan besar buat industri penyiaran negara. Pengacara hebat yang akan dikenang sepanjang zaman.” - Fedtri Yahya. - UTUSAN ONLINE