Sifatnya yang mudah mesra dan sangat berhemah dengan orang lain membuatkan dirinya begitu senang meraih perhatian dan mudah didekati.

Daripada golongan kanak-kanak, dewasa, warga emas, berstatus biasa atau terdiri di kalangan golongan berkedudukan tinggi (VIP), rata-ratanya cukup selesa. Roslan bertenaga dalam memeriahkan sesebuah majlis hiburan yang menyaksikan lelaki ini bijak ‘menghidupkan’ suasana dengan becok dan riuh rendah celoteh jenakanya yang bersahaja sementelah sering dipanggil bertugas sebagai pengacara.

Buktinya, acara sambutan ulang tahun kelahiran Roslan di Singapura baru-baru ini, meriah sekali perjalanannya.

Ribuan peminat membanjiri akaun Facebook Roslan untuk terpilih ke acara itu, tetapi hanya sekitar 1,000 orang dibawa ke acara yang ditaja oleh jenama No Stress itu.

"Ini adalah impian saya yang telah sekian lama ingin laksanakan. Ulang tahun ke-47 ini disambut dengan peminat di Singapura dan akhirnya saya sangat bersyukur kerana majlis ini menjadi kenyataan. Peminat datang tanpa membuat sebarang bayaran sebab saya hendak 'belanja' mereka pada hari indah saya ini. Itu tujuan majlis ini diadakan," katanya.

Tidak cuma peminat, Roslan juga turut membawa keluarganya bersama dan tentulah ia diserikan lagi dengan kehadiran ibu tercinta Mariam Kari.

Merupakan kali pertama majlis seumpama itu diadakan, ia adalah majlis ulang tahun pertama diadakan selepas empat tahun tidak meraikan sebarang sambutan dan ia akan dikenang sehingga akhir hayat.

"Saya rasa sangat bertuah kerana disayangi ramai orang. Ramai yang mahu menaja majlis ini walaupun idea menganjurkannya dibuat pada saat akhir.

"Tanpa peminat, saya tidak akan dapat meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Setelah lebih 20 tahun dalam bidang ini, saya anggap ini rezeki terbaik untuk saya menyara keluarga tercinta, terutamanya ibu yang sedang sakit," katanya sambil menitiskan airmata terharu dek sambutan hebat yang diterima ramai orang.

Tak suka bermusuh

Meskipun ada artis yang seperti sengaja memilih untuk memusuhi Roslan Shah, itu langsung tidak menjejaskan dirinya. Dituduh dan dicaci oleh nama-nama artis yang sudah terbiasa dengan kisah pergaduhan dan permusuhan, sepertinya Roslan alah 'bisa tegal dek biasa.'

"Saya pun pelik, sampai bila seorang dua artis ini hendak menjadikan saya sebagai musuh mereka, selalu bercerita buruk tentang saya? Apapun, saya tetap mendoakan mereka berubah dan terus diberikan kesihatan yang baik. Saya tak kisah, kalau pun ada yang dengan sengaja mencari musuh dengan saya sebab saya percaya seorang tak suka kita, lebih 100 lagi yang sayang dan suka.

"Kita sudah semakin tua dan janganlah buat sesuatu yang memalukan diri sendiri juga. Sikap suka bermusuh kepada hal yang tidak masuk akal boleh buat rezeki kita pun susah hendak datang," katanya.

Mahu melupakan seorang dua yang tidak menyukai dirinya, Roslan mahu lebih erat bersahabat dengan kawan-kawan yang lebih menghargai dirinya.

Antara yang memuji tingkah laku Roslan adalah teman-teman artis seperti Azza Elite, Erry Putra, dan ramai lagi. Bagi mereka, lelaki ini adalah seorang yang baik hati dan pemurah. Justeru bagi meraikan acara itu, kelibat rakan artis ini turut kelihatan untuk memberi sokongan dan doa yang baik untuk Roslan. Sikap suka berkongsi rezeki dengan memanggil beberapa rakan artis lain untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya dalam mana-mana majlis, mendapat pujian Azza Elite yang bertindak selaku pengacara di majlis sambutan ulangtahun itu.

“Kalau dapat bayaran persembahan RM3,000 sekali pun, dia akan panggil juga kawan-kawannya dan bayar seorang seribu dan kami sama-sama naik pentas. Kalau buka gerai di tapak bazar, dia jenis tak kisah kalau kawan-kawan tumpang letak produk di gerainya asalkan semua boleh sama-sama berniaga.

“Begitulah Roslan dengan teman-teman dan kerana sikapnya yang begitu maka ramai yang sayang dengannya dan kawan-kawan juga tak berkira dengannya,”kata Azza.