Usai mengadakan persembahan yang ditonton oleh kira-kira 1,500 audiens yang memenuhi panggung itu, ternyata masing-masing menzahirkan kepuasan menikmati halwa telinga menerusi kualiti audio yang disajikan.

Menampilkan persembahan bertenaga sepanjang konsert berdurasi hampir tiga jam itu, dua penyanyi legenda tersebut mendendangkan 20 seleksi lagu popular yang masih lagi diputarkan di corong-corong radio.

Lebih menarik, seisi dewan tersebut turut sama berdendang lagu kesukaan mereka menerusi empat segmen pada malam berkenaan.

Konsert tersebut membuka tirai dengan menampilkan lagu duet Zapin Berperi, Ihsan Mulia, Ku Miliki Bayanganmu dan Lagu Zaman.

Segmen kedua pula menampilkan lagu popular Khadijah seperti Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Gembira Di Sampingmu selain Ku Pendam Sebuah Duka dan Nyanyian Tanjung Sepi yang dinyanyikan secara duet.

Istana Budaya gamat apabila Ramli menyanyikan lagu popularnya seperti Jikalau Berkasih, Batu, Zakiah, Teratai dan Jangan Tunggu Lama-Lama.

Akhir sekali, Doa Buat Kekasih dan Kamelia menjadi pilihan dua legenda ini mengakhiri persembahan yang memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

Jiwa Melayu anak muda

MENGULAS mengenai kesibukan dua bintang ternama itu menjayakan siri jelajah yang sedang berjalan, Ramli Sarip optimis dengan sambutan peminat dan terbukti pada malam itu.

“Jika dilihat pada malam ini, bukan sahaja orang lama yang hadir menyaksikan konsert ini bahkan turut dihadiri anak-anak muda.

“Ini bermaksud, mereka mempunyai jiwa Melayu yang baik. Mereka perlu suka, hormat dan berbudaya. Ini penghargaan buat peminat dan disebabkan itu mereka mahu menyanyi bersama-sama,” katanya.

Ditanya sambutan luar biasa lagu Batu, legenda yang digelar Papa Rock itu berkata, karya berkenaan sememangnya menjadi siulan di Malaysia dan Singapura.

“Kalau di Singapura, lagu itu dinyanyikan oleh kumpulan remaja yang sering melepak di bawah blok. Jika di sini, dinyanyikan di pangkin rumah kampung.

“Cukup kuat pengaruh lagu ini meskipun ada dalam kalangan anak muda sekarang tidak pernah mendengarnya. Oleh sebab itu, saya memilih untuk menyanyikannya pada malam ini,” katanya.

Didik pendengar

DALAM pada itu, Khadijah Ibrahim pula mengakui, dia masih belum menjumpai penyanyi zaman kini yang boleh menyanyikan lagu-lagu Melayu dengan bagus.

Jelasnya, lagu Melayu tidak terhad kepada muzik irama tradisi semata-mata, tetapi bersifat sejagat merangkumi pelbagai genre.

"Kita kalau hendak makan, sampai bila akan menikmati keenakan satu jenis makanan sahaja? Dan sampai bila tekak kita berselera untuk makan makanan Barat?

“Jika kita berada di luar negara, sampai satu masa bila kita pulang ke negara sendiri, pastinya kita akan mencari nasi lemak, laksa atau apa jua jenis masakan Melayu.

“Sejujurnya, saya teringin nak berjumpa penyanyi zaman sekarang yang boleh menyanyikan lagu Melayu dengan bagus, namun sayangnya belum menjumpainya,” luah Khadijah atau mesra dipanggil Ibu Khaty.

Tambah Khaty, kebanyakan anak muda tidak sedar muzik Melayu itu amat kaya dengan pelbagai elemen seperti qasidah, nasyid dan sebagainya yang boleh mewarnai sesebuah karya.

“Itu yang sepatutnya menjadi kekuatan lagu-lagu Melayu jika ingin melihat karya anak tempatan pergi lebih jauh dalam industri muzik global,” tambahnya.