Ini kerana hanya mereka yang hadir boleh menterjemahkan betapa asyiknya persembahan penyanyi yang berbakat dan berjiwa besar melontarkan suara.

Persembahan tempoh hari tentu sekali bakal menjadi satu lagi memori indah buat pencinta-pencintanya.

Semua yang hadir menyaksikan persembahannya bagaikan bersetuju bahawa saat dia melontarkan suaranya menyanyikan lagu Denganmu, jiwa dan emosi seakan bersatu.

Dua jam setengah berakhir di pentas, Marcell bijak membawa peminat-peminatnya terbuai bersamanya. Semua yang menonton diajak bersama-sama menyelusuri perjalanan muziknya.

Menyanyikan lagu Demi Waktu (dendangan asal Ungu) dia membawakan naskhah popular itu dengan cara tersendiri. Ternyata, dia menyuntik jiwa dan identitinya dalam setiap lagu yang pernah dibawakan oleh penyanyi lain.

Belahan Jiwa, Pillow Talk, That's Why I Like It dan Ordinary World dibawakan dengan gaya bersahaja dan dia menjadi dirinya sendiri. Itulah muzik Marcell, itulah gaya nyanyian Marcell yang nyata berbeza daripada penyanyi asal lagu-lagu tersebut.

Malah, konsert sulungnya di Malaysia ini turut mencipta memori tersendiri apabila dia memilih untuk menyanyikan dua lagu lama dalam versi tersendiri iaitu, Puteri Remaja dan Rozana yang terkandung di dalam album baharunya.

Membawakan lagu Puteri Remaja dengan susunan muzik berbeza, Marcell memilih untuk menyanyikan semula lagu nyanyian asal, Jasni pada tahun 1957 ini hanya kerana permintaan ibu mentuanya.

Pemilihan Rozana yang merupakan dendangan asal kumpulan rock terkemuka, Search juga adalah disebabkan isterinya, Rima Melati Adams yang mahu dia mendendangkan lagu ini dengan caranya tersendiri.

Konsert yang menjadi hadiah buat dirinya sendiri ini juga penuh dengan kejutan. Tidak hanya hadir daripada diri penyanyi berusia 40 tahun ini sendiri, keluarga dan produksi juga punya kejutan yang sungguh mengharukan.

Pada saat Marcell bercerita tulang belakang kerjaya seninya yang menjejaki usia 15 tahun, anak-anaknya, Keenan, Edga dan Seth naik ke atas pentas untuk menghadiahkan kek buat si bapa penyayang ini.

Jelas daripada nada suara penyanyi ini, dia sungguh terharu dan berterima kasih di atas anugerah Tuhan yang tiada ternilai ini. Malah, dia juga bergabung suara dengan isterinya menerusi lagu Very Thoughtful of You. Tambah mengharukan, penyanyi kelahiran Bandung ini turut menghadiahkan sebentuk cincin tanda cintanya kepada isteri tersayang.

Rima disifatkan Marcell sebagai nadi hidupnya yang bersama-sama melayari susah senang kehidupan sepanjang lapan tahun bersama.

Tidak hanya itu, kehadiran anak-anak seni dari Akademi Seni Suara bimbingan Puan Sri Tiara Jacquelina menyanyikan lagu Semusim secara acapella membuatkan penyanyi itu tambah terharu.

Dia sama sekali tidak menyangka, kerjaya yang bermula dengan lagu Hanya Memuji sekitar 15 tahun lalu bertahan dan kekal memahat namanya di Malaysia sebagai salah satu penyanyi kegemaran dari negara seberang.

Penampilan Noh Hujan yang membawakan lagu Bahasa Kalbu (dendangan asal Titi DJ dan pernah dinyanyikan semula oleh Marcell) juga mengundang gema sorakan penonton yang hadir.

Menariknya, Marcell tidak berduet dengan penyanyi utama kumpulan Hujan itu. Sebaiknya, dia menjadi pemain dram mengiringi Noh yang turut menyanyikan lagu popularnya, Angin Kencang.

Dua jam setengah, penonton dibawa berlayar di atas kapal seni yang penuh dengan memori. Pada saat lagu Semusim, Firasat, Takkan Terganti didendangkan oleh Marcell, setiap kali itulah dewan berprestij itu bergema dengan suara penonton.

Malah, tatkala lagu Hanya Memuji mengambil alih pentas, penonton turut sama menari dan menyanyi bersama. Itulah bukti kehebatan seorang penghibur bernama Marcell.

"Saya hanya anak orang biasa. Budak kebanyakan yang suka berjalan kaki, suka naik beca dan naik bas untuk pergi ke mana-mana. Saya juga tidak percaya dari seorang pemalu, saya akhirnya berdiri di sini.

"Selama 15 tahun penuh memori, semuanya terjadi kerana sokongan anda semua. Benarlah kata orang, hidup bermula di angka 40 tahun. Terima kasih kerana bersama saya untuk 15 tahun ini.

"Semoga kita terus bersama mencipta magis untuk 15 tahun akan datang. Di sini (Malaysia), jiwa dan batin saya terikat. Terima kasih semua, " kata penyanyi yang cukup merendah diri ini. – Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR