Sebuah konsert yang sangat istimewa dan luar biasa, maka tidak hairanlah pada kedua-dua malam ia berlangsung, penonton yang hadir memenuhkan dewan Panggung Sari datangnya dari Indonesia, Brunei, Singapura dan tidak ketinggalan, ada yang sanggup terbang dari Jepun dan Amerika Syarikat.

Walaupun berdurasi selama dua jam, rata-rata yang hadir mengeluh kerana tempoh berkenaan rasa seakan-akan singkat. Apatah lagi pada malam tersebut, turut ditampilkan dua legenda dari seberang, Datuk Ramli Sarip mewakili Singapura, manakala Hetty Koes Endang diterbangkan dari Indonesia, lengkap menyatukan muzik serumpun.

Untuk mengamati dan menyaksikan ketiga-tiga figura ternama itu dalam satu persembahan, ternyata tempoh dua jam tersebut tidak mencukupi. Jiwa seolah-olah meronta mahukannya lagi, lagi dan lagi.

Kolaborasi tiga nama itu dilihat tepat pada waktunya, apatah lagi suara emas Hetty sudah lama tidak berkumandang di negara ini, sementara gemeresik suara parau Papa Rock, Ramli juga dirindui sekian lama.

Seleksi lagu yang dipersembahkan begitu awesome bak kata orang Inggeris. Antara yang magis yang tidak diduga ialah penyampaian versi keroncong lagu popular Siti, Bukan Cinta Biasa dendangan duet bersama Hetty yang sinonim dengan irama asli tradisional berkenaan.

Walaupun ditukar komposisi muziknya, audiens tetap menyambutnya dengan begitu baik dan ternyata, percaturan Siti mengambil risiko menukarnya daripada rentak pop kepada irama Melayu asli sangat menjadi. Syabas juga kepada Aubrey Suwito selaku pengarah muzik yang gemilang melakukan kerjanya. Selain itu, penampilan Hetty di pentas berprestij itu begitu menggamatkan. Celotehnya yang bersahaja diselang-selikan dengan nyanyiannya berjaya menggeletek audiens yang hadir.

Vokalnya pula mampu membuatkan nuansa seluruh dewan menggelegak, ditambah pula dengan penguasaan pentasnya yang cukup energetik. Ya, tenaganya di usia 58 tahun begitu mengagumkan dan auranya penuh bisa sehingga setiap persembahannya diberikan tepukan standing ovation dan boleh diangkat sebagai satu persembahan spectacular.

Malah, empunya konsert, Siti sendiri mengakui dirinya ‘terpelanting’ tatkala berduet dengan seniwati itu menyampaikan dua buah lagu, Bukan Cinta Biasa dan Pastikan.

Menyentuh persembahan isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu pula, seperti biasa, keunggulan suaranya tetap membikin bulu roma berdiri mendengarnya.

Meskipun kedengaran seperti Hetty menjadi bintang pada kedua-dua malam berkenaan, ternyata Siti juga ada magis tersendiri memikat hati penonton. Begitu juga dengan Ramli, kejutannya mendendangkan lagi Dialah Di Hati dalam versi rock cukup membuatkan penonton teruja.

Gaya penyampaian yang sebati dengan dirinya, membuatkan lagu tersebut seakan-akan bukan nyanyian asal Siti, sebaliknya memberi satu nafas baharu terhadap nukilan Aidit Alfian dan Habsah Hassan itu.

Apapun, secara keseluruhannya, setiap momen yang dipersembahkan seboleh-bolehnya mahu dirakam dengan kamera telefon bimbit, supaya ia boleh ditonton berulang-ulang kali tanpa terbit sedikit pun rasa bosan atau luput dari ruang ingatan. Siti juga begitu anggun menggayakan empat persalinan busana rekaan Riezman Ruzaini dan Ezuwan Ismail.

Diharap, Siti Nurhaliza Productions mampu untuk terus-menerus mencetuskan magis dalam menerbitkan konsert yang lebih istimewa pada masa akan datang, di samping membantu memulihkan semula industri muzik yang dilihat sedikit sakit dek kerakusan pengkarya yang mengangkat kuantiti melebihi kualiti.