Malah, berat untuknya mengenang kembali kisah tersebut. Apa pun, penyanyi berusia 24 tahun ini terus bangkit demi kelangsungan kerjaya seninya.

Pada 20 Januari lalu, Akim juga telah pergi menunaikan umrah bersama keluarganya. Menemui penyanyi yang kini popular dengan lagu Mewangi ini selepas persembahan Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada sesuatu yang ingin diperkatakan tentang diri dan kerjayanya.

HITS: Tahniah atas persembahan tadi. Apa khabar Akim, nampak macam tidak sihat. Kenapa?

AKIM: Terima kasih. Ya, saya memang selesema sikit. Baru balik dari Tanah Suci Mekah selepas menunaikan umrah. Keadaan di sana agak berhabuk kerana ada kerja-kerja ubah suai dilakukan. Saya pergi selama 10 hari bersama ayah, ibu dan adik.

Melihat persembahan tadi, Akim membawa bersama The Majistret. Sudah selesa dengan kehadiran mereka?

Apabila ada kumpulan The Majistret, saya umpama ada sokongan untuk berdiri. Sebenarnya saya selesa bergerak dengan adanya pemuzik atau sebuah kumpulan.

Maksudnya sebelum ini, nama Akim kurang menyerlah dalam industri tanpa kumpulan?

Bukan sebab macam itu. Saya mahu muzik dimainkan secara langsung. Biasanya, saya menggunakan minus one atau cakera padat. Kadang-kadang kalau berlaku masalah teknikal, ia akan mengganggu persembahan. Lagipun apabila bersama anggota kumpulan, saya boleh belajar tentang susunan muzik. Penambahan instrumen sebenarnya juga boleh membuat sesebuah lagu itu jadi menarik. Itu semua hanya ada dalam kumpulan.

Atau selepas ini tiada lagi Akim solo?

Tidak tahu lagi. Tapi saya okey bergerak secara berkumpulan berbanding solo. Kalau ada tawaran persembahan juga saya lebih memberi keutamaan kepada yang meminta saya secara berkumpulan. Pada saya, kepuasan berada di atas pentas bersama kumpulan lebih baik.

Apa perancangan bersama The Majistret?

Dalam masa terdekat ini, kami bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Potret selepas Mewangi. Lagu ini oleh saya dan lirik ditulis oleh Karma Empayar. Sementara itu, kami ada perancangan untuk menghasilkan album. Kami menyasarkan lapan atau sepuluh buah lagu untuk dimuatkan. Setakat ini, hanya dua lagu sudah dirakam.

Mengenai kes dituduh menyalahguna dadah, adakah memberi kesan kepada awak?

Saya akui kerjaya terjejas selepas timbul tuduhan kononnya saya terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Impaknya sangat besar terutama untuk meyakinkan klien selain memulihkan maruah keluarga walaupun hanya khabar angin. Bagaimanapun, saya sudah memaafkan orang yang membuat tuduhan itu.

Pesan Akim kepada penyebar fitnah?

Masalah ini memang serius kerana melibatkan dadah sehingga boleh merosakkan kerjaya seseorang artis. Saya harap lepas ini orang yang membuat fitnah itu akan lebih berhati-hati.

Boleh kongsi sedikit pengalaman sepanjang berada di Mekah?

Maaf. Saya tidak mahu bercerita banyak tentang itu. Kalau cerita banyak, nanti orang akan kata kita sengaja ingin menunjuk apabila melakukan ibadah. Biarlah saya simpan cerita apa yang berlaku di sana.

Rekabentuk mastika mohamed

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my