Banyak beranggapan Fathia Latiff ini tidak pernah serik. Satu per satu kontroversi diciptanya sehinggakan akhirnya padah menimpa diri.

Dipulaukan hampir semua orang, kena ‘gam’ oleh stesen televisyen termasuk diboikot oleh orang industri sehingga periuk nasinya terjejas teruk, dia hampir hilang mata pencarian.

Agak lama berdepan dengan keadaan itu, Fathia tahu rata-rata orang sudah berputus asa dengan dirinya. Wanita ini seringkali mensia-siakan peluang kedua, ketiga malah untuk kesekian kalinya.

Mengakui ‘sakit’ dengan kekhilafan diri selama ini, Fathia juga mengakui bahawa dia sebenarnya sudah malu untuk memohon maaf.

“Saya sedar sudah selalu sangat berkata maaf. Tetapi bagi diri ini, memohon maaf adalah satu-satunya perkara paling mulia yang boleh saya lakukan pada saat ini.

“Percayalah, saya bukan manusia sempurna dan sehingga ke hari ini masih lagi cuba memperbaiki diri. Saya benar-benar berharap semua pihak dapat memaafkan kesilapan dan segala kelakuan buruk yang lalu,” katanya.

Seiring dengan tahun baharu, pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Ariana Rose ini berazam mahu kembali menyinar dalam kerjaya seni.

Dalam hal ini dia berterima kasih kepada penerbit drama, Fadzil Teh atau mesra disapa dengan panggilan Haji Zil. Ini kerana individu berkenaan merupakan satu-satunya penerbit yang berani mempertaruhkan kepercayaan agar dirinya kembali aktif dalam dunia lakonan.

“Ketika semua orang umpama tidak mahu memandang kepada saya lagi kerana kontroversi lampau, Haji Zil hadir. Dia menghulurkan tangan untuk membantu menggilap bakat saya semula.

“Sungguh, tidak mampu untuk saya ungkapkan kata terharu dan bagaimana caranya untuk berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

“Satu yang saya tahu, kini tidak ada lagi masa untuk saya bermain-main dan ambil sambil lewa akan kerjaya seni. Saya tak mahu lagi mensia-siakan bakat kurniaan Tuhan ini,” tambahnya.

FATHIA LATIFF

Baru tersedar

Sejak itu, dia seakan baharu tersedar bahawasanya masih ramai orang industri yang sayang kepada dirinya. Sebelum ini, dia seolah-olah dibutakan mata hati untuk melihat keadaan ini.

Menyedari bahawa selama ini ramai yang menolak dirinya kerana kontroversi dan sikap buruk, Fathia terharu banyak pihak prihatin dan cuba menolong dirinya.

“Cuma mereka bagai tidak tahu cara untuk menolong kerana saya sendiri asyik melakukan kesalahan yang sama. Terkilan juga kerana semua yang berlaku itu telah menyebabkan saya hilang tawaran lakonan.

“Sikap tidak matang menyebabkan kerjaya saya seolah-olah hancur di tangan sendiri. Saya akui tidak serius dengan kerjaya sendiri sebelum ini.

“Lama saya muhasabah mencari arah diri. Tidak sedikit pun saya cuba menyalahkan orang lain kerana tahu semua kesalahan itu datangnya dari diri sendiri,” katanya.

Banyak mendekatkan diri dengan Tuhan dan keluarga, dia tidak pernah melupakan atau membuang teman-teman sekeliling selama ini.

Cuma, dalam tempoh berdiam diri Fathia cuba bersikap adil dengan diri sendiri untuk memperbaiki kelemahan sebagai seorang manusia biasa.

“Bukan sekadar berjanji kosong, tetapi saya mahu membuktikan yang perubahan diri ke arah lebih baik. Itu dapat dilakukan sedikit demi sedikit.

“Saya tahu tidak ada gunanya berubah kerana orang lain. Perubahan yang terbaik perlu datang daripada keinginan dan niat hati sendiri,” katanya.

AIMAN dan Zahirah kini sedang dalam fasa percintaan.
AIMAN dan Zahirah kini sedang dalam fasa percintaan. 

Doakan Aiman bahagia dengan orang baharu

Tiada apa yang diharapkan oleh aktres cantik ini selain doa dan kata-kata positif daripada orang sekeliling agar dirinya kembali bersemangat meneruskan impiannya sebagai seorang anak seni.

Meski tahu masih ada pihak di luar sana yang sudah membenci, Fathia enggan lagi memikirkan kesilapan lalu lantaran mahu meletakkan fokus kepada kerjaya.

Dia juga tidak juga mahu memikirkan soal cinta atau jodoh. Fokus adalah untuk mengembalikan kestabilan kerjaya dan membina reputasi baik dalam industri.

“Ada yang mengusik, bekas teman lelaki sudah bertemu pengganti baharu, saya pula? Tak mampu nak komen panjang-panjang. Bagi saya, itu semua ketentuan Tuhan.

“Tak apalah kalau dia sudah ada pengganti. Kalau betul jodohnya dengan wanita tersebut, saya sebagai teman lama mendoakan kebahagiaan buat dirinya,” katanya merujuk kepada bekas kekasih Aiman Hakim Ridza.

Selepas hampir tiga tahun putus cinta dengan Fathia, aktor itu kini asyik bercinta dengan pelakon muda, Zahirah Mcwilson.

Dan ternyata ini bukanlah sesuatu yang meletakkan Fathia di lembah kekecewaan sama sekali. Dari sinar matanya, ungkapan 'doa' yang diberikan buat bekas kekasih benar-benar ikhlas dan datang daripada hati yang sudah melepaskan.