Menurut anak muda ini, kehadirannya dalam industri seni tanah air adalah untuk melihat potensi diri, sekali gus mencuba nasib sekiranya ada ruang untuknya mempertaruhkan bakat dimiliki.

“Saya tidak memiliki latar belakang seni, namun saya anggap lakonan memberikan batu loncatan kepada saya untuk terus menerokainya sebaik sahaja ditawarkan watak Ali dalam filem Ola Bola.

“Setelah membintangi filem itu, saya buat keputusan untuk mencuba nasib dalam industri tanah air.

“Perancangan saya akan datang..., kalau boleh nak fokus dalam bidang lakonan. Saya nak sentiasa menambah baik mutu lakonan supaya dapat memenuhi kualiti yang dikehendaki,” katanya.

Tidak meletak harapan yang terlalu tinggi, namun Luqman mahu memberi yang terbaik dalam lakonan.

Ini kerana katanya, menerusi bidang itu juga, dia dapat mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pengarah filem.

“Saya lakukan ini dengan sepenuh hati, supaya apa yang dirancang berjalan lancar. Tidaklah separuh jalan. Lagipun saya bercita-cita mahu memasuki dunia pengarahan.

“Namun, saya faham untuk menjadi seorang pengarah, memerlukan ilmu yang banyak.

“Jadi, saya perlu berusaha dan belajar untuk dapatkan ilmu sepanjang terlibat dalam penggambaran,” katanya.

Memandangkan masih baharu dalam bidang lakonan, Luqman mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memilih watak, namun bersedia mencuba sesuatu yang mencabar.

“Saya masih baharu dalam industri ini. Jadi, saya lebih suka mencuba sesuatu yang baharu. Namun, kalau saya rasa tidak boleh melakukannya, saya akan maklumkan kepada pihak pengurusan.

“Apa pun saya akan baca skrip terlebih dahulu. Kalau boleh..., dalam apa jua watak dibawa, saya mahu sesuatu yang mencabar supaya saya boleh perbaiki dan tingkatkan mutu lakonan,” katanya.

Berbicara mengenai perkembangan terbaharu, Luqman memaklumkan dia baru selesai menjalani pementasan teater muzikal Ola Bola yang berlangsung pada 8 Februari hingga 11 Mac lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam dunia teater. Terima kasih Datin Tiara Jacquelina kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak yang sama iaitu Ali dalam teater muzikal.

“Saya berasa sangat teruja membawa watak tersebut, namun pada masa sama, saya berasa agak gementar sebab tak pernah menyanyi dan menari di atas pentas.

“Tambahan pula berlakon teater memerlukan tenaga dan stamina yang sangat tinggi.

“Jadi, banyak persiapan yang dibuat dibuat, antaranya mengambil suplemen tambahan untuk tenaga dan memperbanyakkan latihan dari segi lakonan di atas pentas,” katanya.

Menurut Luqman, dia juga banyak mempelajari kaedah menyanyi dan menari dengan cara yang betul dan sempurna.

Selepas terlibat dalam pementasan selama lima bulan, Luqman kini mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarganya.