Selama hampir dua tahun diperap kerana sebab-sebab tertentu, LS bagi Wan Hasliza adalah filem pertamanya dalam elemen cinta selepas sebelum ini sering tampil dengan buah tangan bercorak komedi.

Mengakui berasa lega kerana akhirnya skrip yang ditulis olehnya itu diangkat dan dipandang oleh pihak Grand Brilliance, Wan Hasliza akui, secara keseluruhannya, filem itu mengambil tema jodoh sebagai inti pati ceritanya yang diambil berdasarkan pengamatan dan pengalaman orang sekeliling.

“Genre romatik komedi adalah sesuatu yang baru bagi saya sebenarnya. Namun saya bersyukur kerana banyak dibantu oleh penerbit ketika menyiapkan skrip termasuk ketika saya mengolah semula karya itu apabila diminta oleh pihak Grand Briliance.

“Saya tahu mungkin ada yang spektikal dengan cerita ini dan menganggap sama dengan cerita cinta yang lain. Bagi saya, LS adalah sebuah karya yang berbeza kerana bukan sebuah cinta yang klise.

“Saya sendiri sedaya upaya cuba hasilkannya agar tidak sama dengan cerita romantik lain sebab itu dapat dilihat, banyak cerita mengenai jodoh dari perspektif berbeza.

“Ada juga saya selitkan mengenai gosip pasangan masing-masing antara sesama watak dalam filem ini. Itu bukan sesuatu yang asing pun kerana dalam kehidupan realiti, memang antara kita suka bergosip mengenai pasangan masing-masing.

“Saya tampilkan dalam bentuk komedi kerana lebih dekat dan mudah dihadam oleh penonton,” katanya.

CABARAN

Bercerita mengenai cabaran, kata Wan Hasliza, dia tidak menafikan sepanjang proses megolah semula skrip, dia berdepan dengan masalah untuk menyelitkan banyak dialog pada satu masa agar mampu dipadatkan dalam durasi filem yang ditetapkan.

“Meski sudah diolah tetap kelihatan panjang dan menyebabkan saya dan pihak penerbit terpaksa berulangkali mengolah dan menyusun semula dialog sehingga benar-benar sesuai dengan perjalanan cerita.

“Itu juga menjadi punca mengapa filem ini lambat disiapkan dan terperap selama hampir dua tahun sebelum ditayangkan,” katanya.

Pada masa yang sama, kata pengarah ini, dia memuji kehebatan lakonan Nadiya Nisaa yang menjadi tunjang utama filem ini apalagi ketika itu, Nadiya buat julung kalinya melangkah ke dunia perfileman.

“Tawaran yang diberikan oleh penerbit ketika itu menyaksikan Nadiya masih seorang pendatang baharu dan diberi peluang untuk membawakan watak utama dalam filem.

“Komitmen dan bakatnya amat besar dan barangkali penerbit telah melihat potensi yang ada pada Nadiya ketika itu.

"Buktinya, lihatlah sekarang, Nadiya sudah banyak kali memenangi anugerah di atas bakatnya itu,” katanya yang turut memuji Farid Kamil dan pelakon-pelakon lain dalam filem ini.

Membariskan bintang seperti Rita Rudaini, Zain Saidin, Azhar Sulaiman, Anne Ngasri, Zain Hamid dan Razak Ahmad, LS mengisahkan persahabatan lima sahabat yang bermula sejak bangku sekolah dan bagaimana persahabatan mereka berkembang sehingga ke zaman universiti, alam pekerjaan dan bagaimana mereka mula bertemu pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.

Razak (Farid Kamil) dan Triz (Nadiya Nisaa) sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Setelah menamatkan zaman universiti, Triz bercita-cita untuk menjadi seorang penulis tetapi malangnya, hasil tulisan Triz sering ditolak oleh syarikat-syarikat penerbitan.

Berlainan pula dengan Razak, dia berjaya menjadi seorang doktor dan amat dikenali kerana sifat playboy dan sering bertukar pasangan.

Selepas bertahun-tahun mengharungi pelbagai masalah cinta dan liku-liku kehidupan, Razak dan Triz dipertemukan oleh takdir apabila kedua-duanya mahu memulakan kehidupan yang baharu.

Genre romatik komedi adalah sesuatu yang baharu bagi saya sebenarnya. Namun saya bersyukur kerana banyak dibantu oleh penerbit ketika menyiapkan skrip