Hampir sembilan tahun membilang usia empayar jenamanya sebagai seorang penyanyi tanah air, tentunya ia bukan sebuah perjalanan yang mudah buat Stacy apalagi dalam menepis segala isu berbangkit saat dirinya meniti laluan untuk berjaya hingga ke hari ini.

Dianggap sudah punya kedudukan tersendiri, warna Stacy sebagai seorang penyanyi solo wanita yang ligat dan lincah menari ketika beraksi di pentas belum pernah terpadam sejak dia mula dikenali ramai menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia (AF).

Namun, benarkah sejak dia mendirikan rumah tangga dengan Akim Ahmad, seputar hidupnya kini agak terbatas, baik dari segi kerjaya seni mahupun imej.

Bukan menuduh Akim sebagai suami adalah individu yang melarang Stacy untuk tidak menjadi diri sendiri, tetapi perubahan itu kini kelihatan lebih ketara sehingga wujudnya persoalan adakah Akim begitu ketat meletakkan syarat tertentu buat isterinya ini dalam sebarang hal?

Seperti yang dapat dilihat menerusi kemeriahan program terbaru terbitan Astro, Akademi Fantasia Megastar 2017, tiada kelibat Stacy dalam program berkenaan sedangkan dia adalah antara nama yang dinanti-nantikan oleh peminat yang menyokong program itu.

Maka, ramailah yang membuat tanggapan bahawa ia berlaku kerana Akim membataskan Stacy untuk terlibat dalam mana-mana tawaran kesenian termasuk AF Megastar.

“Ya memang saya tolak atas banyak sebab, tetapi bukan kerana Akim halang,” katanya sebelum membahas panjang lebar.

“Tawaran itu datang pada masa yang tidak tepat. Selain hadir pada minit terakhir, saya sekarang sedang sibuk mempromosikan lagu baru berjudul Cakap Ke Tangan. Kalau saya ambil juga tawaran AF Megastar, semuanya akan kelihatan kucar-kacir, macam rojak!

“Saya tak boleh campur adukkan semuanya sekali. Bukan tak boleh masuk,  tetapi persediaan yang saya jalankan sekarang adalah untuk lagu ini danbukannya untuk bertanding dalam manamana program.

“Prinsip saya, kalau nak buat sesuatu, persediaan kena kukuh dan bukannya asal ada,” tambahnya.

Sudah sedia maklum bahawa pertandingan tidak boleh dipandang remeh, penyanyi berusia 27 tahun ini cukup khuatir jika kredibilitinya sebagai penyanyi dan penari tidak mempunyai persediaan yang menyeluruh.

Bahkan, rapuh hatinya andai ada yang mendakwa dia sebenarnya menolak untuk bertanding kerana takut menerima kekalahan.

“Kalau begitu, memang saya takut. Bukan kerana bertanding atau takut kalah, tetapi sebab saya memang tak bersedia. Takkanlah nak main masuk sahaja tanpa ada persediaan, nanti orang lain cukup bersedia, saya kelihatan terkial-kial di pentas kerana tak cukup masa berlatih.

“Janganlah bagi saya nampak macam orang bodoh dan saya sendiri pun tak mahu cari pasal yang boleh mencetuskan orang ramai untuk bercakap mengenai kegagalan dan kelemahan saya. Lagipun ia sebuah pertandingan besar” katanya.

Tak cuma itu, Stacy juga menolak kerana terikat dengan banyak perkara terutama yang menyaksikan dia yang kini melalui hari-hari yang sibuk sebagai ibu kepada Bella De Luna Valentina, 5, dan Eshaal yang kini berusia 6 bulan.

“Cuba bayangkan kalau dalam seminggu, saya terikat komitmen dengan program. Mana ada masa untuk anak nanti tambahan pula sekarang Akim sedang sibuk. Saya kasihankan anak-anak yang tentunya perlukan perhatian saya.

“Jadi sukar untuk saya penuhi semua komitmen itu dalam satu masa dan saya tak mahu asal ada sahaja. Sudahlah orang kita ni suka mencari kesalahan, mahu atau tidak, saya perlu jaga nama baik saya sebagai anak seni.

“Tak sanggup rasanya nak perjudikan banyak perkara demi nak bertanding. Tak apalah, saya tak menyesal pun tolak, saya percaya pada rezeki,” tegasnya.

 

Opps, tak boleh seksi!

 

Batas dirinya tidak terhenti di situ. Daripada seorang yang sangat berani menggayakan sesuatu fesyen apalagi seksi, Stacy kini kelihatan terbatas dalam subjek itu.

Sekali lagi nama Akim terkait namun tetap juga Stacy mempertahankan nama baik suaminya itu.

“Dia tidak mengawal saya malah, dia tahu saya ada akal dan boleh fikir sendiri. Dia tahu apa sebab dan niat saya memeluk Islam tempoh hari dari A hingga Z. Saya mahu mendalami agama dan melakukan perubahan dengan sendirinya secara perlahan-lahan tanpa ada paksaan daripada mana-mana individu.

“Saya belajar satu persatu. Sejajar dengan pilihan nama Islam saya, status isteri orang dan ibu anak dua, tentulah tak manis untuk saya berimej seksi lagi dan ya, banyak perkara yang perlu saya hadkan dan mungkin tukar.

“Satu persatu saya belajar. Kalau boleh saya mahu lakukan semua itu dengan kefahaman yang penuh dan tak mahu sekadar ikut cakap orang. Nanti saya sendiri yang rasa tidak selesa sebab takut apa yang dilakukan itu tidak sampai ke dalam jiwa dan jadi tidak ikhlas.

“Saya tahu saya kena buat dengan hati yang ikhlas dan kalau boleh berilah masa untuk saya ubah lagi ke arah yang lebih baik perlahan-lahan. Kadangkala geram juga dengan segelintir manusia di luar sana, ada yang tidak faham sedangkan apa yang saya harapkan adalah iringan doa yang baik-baik daripada mereka, bukankah itu lebih elok?” katanya.

 

Tak halang anak

Dalam pada itu, Stacy yang kelihatan semakin kurus menafikan statusnya sebagai ibu anak dua kini juga menghalang untuk dia melakukan banyak perkara yang disukai sebagaimana sebelum berkahwin.

Menganggap ia dakwaan yang melucukan, kata Stacy, dia tidak pernah menjadikan ia sebagai tembok penghalang dek kerana sudah terbiasa menjaga Bella sejak anak kecil itu berada dalam kandungan lagi.

“Mengambil Bella sebagai anak angkat ketika usia masih muda adalah satu keputusan terbaik dalam hidup saya. Dia sudah saya anggap seperti anak sendiri dan tak kisahlah apa orang nak cakap, saya yang tahu susah senang membesarkan dia.

“Dia banyak mengubah diri saya yang dulu lebih banyak menghabiskan masa dan tenaga. Sebab itu saya tak rasa ada anak dua sekarang membataskan saya untuk buat apa-apa, tanggapan itu salah.

“Kadangkala, kalau saya terasa nak pergi karaoke, saya bawa saja Bella bersama. Kebetulan dia pun suka menyanyi, ikut saya barangkali,” katanya ketawa.

Masih terlalu awal untuk menentukan cara buat Eshaal, namun kata Stacy, dia dan Akim bersetuju untuk tidak menghalang apa yang diminati oleh anak mereka itu apabila besar kelak.

“Dulu,kami ada banyak perancangan untuk Bella, mahu dia begitu begini. Tetapi bila dia menginjak usia empat tahun, dia menunjukkan minat yang mendalam terhadap tarian ballet sehingga kami hantar Bella untuk belajar di kelas, tapi lama-lama dia pula yang bosan.

“Jadi dari situ, saya dan Akim sedar kami tak boleh halang minat anak kerana dia juga dalam fasa meneroka. Tapi sekarang kami rasa dia sangat meminati aktiviti renang.

“Bagaimanapun, dalam minat, saya tekankan pada anak supaya jangan lupakan pelajaran. Dulu, saya tak dapat melanjutkan pelajaran tapi sekarang saya nak menyesal pun tiada gunanya.

“Bukan nak cakap besar, tetapi saya bersyukur laluan saya dalam dunia seni membawa tuah dan menjadi. Masing-masing ada cara dan laluan sendiri untuk berjaya, itu yang pasti,” katanya.