Mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanak, Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafa, 44, mengakui minat dan bakat yang ada dalam dirinya ketika itu telah membawanya ke dalam industri hiburan pada hari ini.

“Dulu setiap kali balik dari tadika, saya akan berdiri di hadapan radio dan mainkan kaset koleksi datuk di rumah. Lagu yang sering saya dengar waktu itu adalah lagu nyanyian (Datuk) Jamal Abdillah yang berjudul Tidurlah Permaisuriku.

“Bila habis sahaja lagu yang dimainkan tu saya akan mainkan semula sehingga saya pernah terfikir tak penat ke dia ni menyanyi tak henti-henti?” ujarnya sambil tergelak.

Tambah penyanyi yang dibesarkan di Century Garden, Johor Bahru ini lagi, ketika berumur sembilan tahun dia mula menyedari minatnya dalam gubahan lagu setelah mendengar sebuah lagu kanak-kanak dalam satu siaran televisyen.

“Masa tu saya dengar penyanyi dalam rancangan tersebut menyanyikan lagu Twinkle-Twinkle Little Star dalam versi yang lain daripada kebiasaan. Selalu dengar macam biasa sahaja.

“Bayangkan saya boleh terpesona dengan lagu tu. Sambil dengar saya terfikir rupanya setiap lagu boleh cipta gaya muzik yang lain. Kemudian saya masuk bilik dan cuba nyanyi ikut versi saya pula. Bermula dari hari tu, saya mula dengar banyak lagu dan ubah ikut versi yang saya suka.

“Tapi masa dulu saya memang tak pandai main muzik. Cuma saya agak beruntung sebab duduk berdekatan dengan Singapura, di sana lagu-lagu luar cepat masuk jadi dari kecil lagi saya dah puas dengar dari lagu-lagu Inggeris, rock dan bermacam lagi,” tutur Tam yang dijaga oleh datuk dan nenek sejak kecil.

Ketika usianya menginjak 15 tahun, anak sulung daripada empat adik-beradik ini mula mengenali gitar dan belajar mengenainya, Malah bermula dari saat itu jugalah dia tidak begitu mengendahkan lagi perkara lain. Dalam fikirannya ketika itu hanyalah muzik semata.

“Saya hilang minat pada perkara lain. Walaupun ketika itu saya minat bola dan pernah bercita-cita untuk menjadi pemain bola, namun saya lupakan hasrat tersebut. Pelajaran pun dah tak berapa peduli sangat waktu tu. Saya tekad dalam hati untuk bergelar penyanyi,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, Melaka ini lagi.

Kerja keras

Menyentuh perkembangan terbarunya, dia kini masih lagi aktif membuat persembahan di serata negara sehingga ke Singapura dan United Kingdom (UK).

“Jemputan masih seperti biasa. Hujung tahun lepas kami baru sahaja pulang dari UK dan sedang merancang untuk mengadakan persembahan di sana. Tapi semuanya masih lagi dalam perbincangan dengan pihak di sana. Insya-Allah kalau ada rezeki kami akan ke sana tidak lama lagi.

“Selain itu, tahun lepas juga Spider baru sahaja selesai dengan album Ankabut dan ternyata sambutan yang diterima menggalakkan biarpun dah lama tak keluar album. Selesai sahaja album tersebut, kami semua berehat panjang seketika sebelum perancangan seterusnya.

“Bukan apa, kami bersetuju untuk memberi peluang pada ahli kumpulan untuk membuat hal masing-masing seketika. Lagipun semua dah ada tanggungjawab dengan keluarga dan sebagainya tak macam dahulu lagi. Jadi ini dikira cuti panjang lah bagi kami sambil berfikir untuk projek seterusnya,” ceritanya.

Ungkap bapa kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, dia sekarang agak sibuk mengumpul lagu baharu kerana berhasrat untuk tampil dengan album solo pada tahun hadapan selain sedang mencipta lagu untuk artis-artis baru seperti Ronnie Hussein dan ramai lagi.

Kumpulan Spider

Tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mula sibuk dengan band bersama rakan-rakan sekampung. Mereka banyak membuat persembahan pentas, majlis perkahwinan, memasuki pertandingan dan sebagainya di sekitar Johor Bahru.

Laluannya dalam bidang muzik bermula ketika umurnya 23 tahun. Waktu itu band mereka dipelawa membuat persembahan pembukaan sebuah majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur. Bermula daripada situ mereka berpeluang untuk bergelar penyanyi apabila berkesempatan berjumpa dengan M. Nasir (kini Datuk).

“Nak dijadikan cerita, selesai sahaja persembahan, salah seorang daripada kawan kami ingin pergi ke studio Luncai Emas milik M. Nasir yang terletak di Sungai Buloh, Selangor. Jadi kami pun pergilah lagi pula memang teruja sebab seumur hidup tak pernah masuk studio.

“Sampai sahaja di sana, nasib kami agak baik sebab M. Nasir ada di studio. Saya ingat lagi dia tanya kami nak nyanyi lagu apa? Saya jawab kami ada lagu sendiri. Tanpa membuang masa dia terus menyuruh kami merakamkan lagu yang ada hari tu juga.

“Apa lagi gelabah lah kami semua. Masa tu saya bukan vokalis tapi dalam masa yang sama saya ada rakam lagu sendiri suka-suka. Tak sangka M. Nasir berminat dengan suara saya pula. Tanpa saya ketahui dia sampaikan pesan pada kawan saya yang mana jika kami ingin buat kumpulan saya mesti menjadi vokalisnya.

“Masa tu ada pertikaian sedikit dengan ahli kumpulan lain dan saya rela undur diri namun vokalis yang sedia ada waktu tu cukup profesional, dia halang dan minta saya gunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Bermula dari situlah kami dikenali sebagai kumpulan Spider,” ungkap nya.

Bercerita lanjut tentang perjalanan seni Spider, kumpulan yang popular dengan lagu Rela Ku Pujuk ini masih tidak dapat melupakan saat-saat sukar ketika mula bergelar penyanyi.

“Masa tu kami terpaksa berhenti kerja dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Disebabkan tak ada tempat tinggal, jadi kami minta izin dengan pihak pengurusan untuk tinggal di studio dahulu sebelum mendapatkan rumah sewa.

“Mujurlah mereka setuju. Di situlah tempat tinggal kami. Paling kelakar bukan setakat sebulan dua kami tinggal di sana tapi sampai lima tahun duduk di situ. Tapi sepanjang tempoh itu kami gunakan sebaiknya untuk belajar semua perkara tentang dunia muzik,” ujarnya yang telah pun memenangi lebih daripada 10 anugerah sepanjang bergelar penyanyi.

Ditanya kenangan yang tidak dapat dilupakan olehnya sepanjang bergelar artis, menurutnya setiap kali lagu yang dinyanyikan olehnya diterima oleh peminat itulah yang merupakan kenangan paling berharga dalam hidupnya.

“Saya bangga bila peminat menghargai apa yang saya persembahkan. Itu merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai bagi diri ini,” ceritanya.

Tambahnya lagi ramai yang bertanya pada dirinya bila dia mula bergelar komposer.

“Mereka ingat saya baru sahaja mencipta lagu tapi sebenarnya sejak daripada mula menyanyi lagi saya dah cuba buat lagu. Awal tahun 2000, saya diberi kepercayaan untuk menerbitkan album Alleycats. Dan bermula daripada saat itu jugalah saya banyak menyumbangkan lagu pada artis-artis seperti kumpulan Lefthanded, Min Malik, Hattan, Mas Idayu, Amy Mastura, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi.

“Ramai yang mengenali saya sebagai penyanyi berbanding komposer. Tambah pula saya ni kurang bercakap sebab memang jenis yang tak banyak cakap dari dulu. Sehinggakan waktu mula-mula nak jadi artis dulu saya pernah bertanya pada M. Nasir kalau nak jadi artis kena cakap apa?

“Sampai hari ini saya ingat lagi, M. Nasir cakap tak perlu cakap apa-apa, nyanyi sahaja sebab makin banyak bercakap makin ramai yang menyampah. Bila dah lama dalam industri ni, baru saya sedar artis-artis hebat di luar negara kebanyakannya tak banyak bercakap mereka menyanyi sahaja di atas pentas,” ujarnya yang masih lagi memegang kata-kata tersebut sehingga ke hari ini.