Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lima tahun menyepi untuk keluarga

Namanya mula menjadi sebutan ketika menyertai pertandingan realiti nyanyian pada 2006 dan berjaya menempatkan diri hingga ke peringkat akhir.

VELVET
VELVET

Biarpun berada di tempat kelima, bakat Velvet ketika itu sudah mula menyinar dan kehadirannya dalam industri seni disedari.

Selepas bergelar anak seni beberapa ketika dan kemudian berkahwin dengan vokalis kumpulan Estranged, Rich pada 2008, Velvet mula memperlahan rentak kerjaya seninya.

Kini selepas lima tahun dia menghilangkan diri seketika daripada industri seni, ibu kepada tiga orang anak ini memulakan percaturan baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

Mengambil masa yang lama untuk kembali, jelas Velvet, dia memberi fokus kepada tugas hakiki sebagai ibu dan pada masa yang sama masih mengambil tawaran persembahan di Sabah.

“Kalau di Kota Kinabalu, kerjaya seni saya masih berjalan seperti biasa. Lagipun memang saya menetap di sana sekarang.

“Anak-anak pun semua berada di sana, jadi lebih baik saya beri tumpuan kepada keluarga dan pada masa sama, bekerjaya di sana,” jelasnya.

Velvet kini merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata, Joshia, 8; Caroline, 6; dan Kianu, 3, dan bakal menimang anak keempat tidak lama lagi.

Bercerita mengenai pengalamannya bergelar seorang ibu, Velvet memberitahu, banyak perkara mengenai kehidupan yang dipelajarinya.

“Nak membesarkan anak-anak bukan senang. Apatah lagi kesemuanya mempunyai perangai dan masalah masing-masing.

“Tetapi saya bersyukur kerana suami, Rich memberi sokongan yang sangat baik biarpun kami berjauhan kerana dia juga mempunyai kerjayanya di Kuala Lumpur,” katanya.

Kembali menyanyi juga menurut Velvet adalah sokongan daripada suami selain minat mendalamnya dalam bidang nyanyian.

Menurut Velvet, di Sabah dia masih menyanyi dan juga bertugas sebagai juruhebah di stesen Kupi-Kupi FM.

“Bergelar ibu atau tidak, kerjaya seni saya tetap berjalan cuma mahu secara serius atau tidak sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Velvet turut berkongsi mengenai keseronokan baharu dalam dirinya iaitu penulisan dan penggubahan lagu.

Kebetulan dia mempunyai rakan yang banyak membantunya dari segi penggubahan lagu yang telah disiapkannya.

“Sudah banyak lagu yang saya tulis dan ada yang sudah disiapkan. Semua penulisan saya adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian seharian.

“Memang banyak lagu yang saya sudah tulis sendiri tetapi buat masa ini lebih baik saya fokus kepada single baharu saya,” katanya yang kini bernaung bawah Paranormal Records.

Buah tangan baharu

Tahun ini pastinya menjadi tahun yang bertuah buat Velvet yang sudah melahirkan single Jauh dan tidak lama lagi, bakal melahirkan anak keempat.

Menariknya, ketika single tersebut dilancarkan, kandungan Velvet sudah berusia 30 minggu dan perkara itu diketahui selepas menerima tawaran daripada Paranormal Records.

“Sebenarnya saya tidak merancang untuk anak keempat ini. Semuanya adalah rezeki dan syarikat rakaman juga tahu mengenai perkara ini.

“Promosi akan terus berjalan. Yang penting ialah penerimaan peminat terhadap single itu,” katanya.

Bercerita mengenai lagu baharunya ciptaannya itu, Rich antara yang banyak membantu terutama dari segi susunan lagu.

Lagu baharunya itu menurut Velvet merupakan luahan peribadi yang dizahirkan ke dalam lirik.

“Ramai yang tanya sama ada lagu tersebut ada kaitan dengan saya. Sebenarnya ada tetapi tidaklah secara langsung.

“Saya tulis lagu ini sekitar pertengahan tahun lalu. Mungkin ada kaitan dengan saya sebab selalu berjauhan dengan Rich yang mempunyai kerja di Kuala Lumpur.

“Tetapi lagu ini juga berdasarkan pemerhatian saya melibatkan pasangan yang terpaksa berjauhan dengan suami atau isteri,” jelasnya.

Kali terakhir Velvet tampil dengan single pada 2012 menerusi lagu Tanpa Terluka.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan