Edis Kayalar, 26, menyerah diri kepada pihak berkuasa Jerman pada November lalu selepas dituduh memeras ugut wang daripada Crawford dan suaminya, Rande Gerber melalui gambar anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun dengan mulut tersumbat dan diikat pada kerusi di Los Angeles.

Gambar itu dilaporkan diambil oleh pengasuh kanak-kanak tersebut sebagai gurauan peribadi ketika mereka bermain 'polis dan pencuri' dengan kanak-kanak itu.

Gambar itu kemudiannya jatuh ke tangan Kayalar, yang merupakan kawan pengasuh terbabit, menurut dokumen mahkamah di Los Angeles.

Hakim, Joachim Spieth memaklumkan bahawa Kayalar mengaku meminta wang tersebut, walaupun beliau mendakwa ia bukan satu peras ugut tetapi lebih kepada 'menampung kos' untuk cubaannya memberi amaran kepada Crawford bahawa pengasuh terbabit tidak memberikan pengaruh yang baik.

"Cubaan peras ugut itu berada di peringkat pertama, bagaimanapun ia gagal," kata Spieth kepada mahkamah di barat daya bandar Kirchheim unter Teck, lapor rangkaian radio SWR.

Kayalar, yang merupakan rakyat Jerman, menghubungi Crawford pada musim panas lalu dan didapati menggunakan gambar itu untuk mendapatkan wang daripada pasangan terbabit selain mengatakan bahawa akhbar tabloid akan memberikan bayaran yang banyak untuknya, menurut dokumen mahkamah.

Crawford dan Gerber bertindak menghubungi pihak berkuasa, menyebabkan polis Los Angeles kemudiannya melancarkan siasatan sebelum menahan Kayalar pada September lalu dan mengusirnya ke Jerman kerana menetap di Amerika Syarikat (AS) secara haram. - REUTERS