Menyaksikan teater Lela Manja pada malam Sabtu lalu, tersirat seribu satu pengajaran yang tersemat di lubuk hati. Kekejaman ibu tiri dan keutuhan kasih adik-beradik menjadikan naskhah ini sebuah karya yang wajib tonton.

Teater yang diadaptasi daripada sebuah naskhah hebat filem Lela Manja yang diarahkan oleh sutradara, Jamil Sulong pada 1960 ini juga menyelitkan aspek nilai kesetiaan dan ketaatan kepada negara.

Mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang, Lela Manja yang diarahkan oleh Ramli Lani mengisahkan penderitaan dua beradik terpisah bertahun-tahun lamanya setelah terseksa dek kekejaman ibu tiri.

Perjalanan hidup kedua-dua beradik ini berubah sehinggalah dewasa dan akhirnya mereka bertemu semula. Malah, mereka juga berjaya menuntut keadilan di atas kekejaman yang berlaku di negeri mereka, Gangga Negara.

Tidak pernah berputus asa, tangis dan sebak menemani hati Lela yang dilakonkan dengan baik oleh Sari Yanti. Malah, emosi dan keluhan jiwa Lela dapat dirasai segenap penonton yang hadir.

Kehebatan Sari tidak perlu dipertikai. Dia jelas dapat membawa watak Lela yang merindukan adiknya, Manja. Permainan emosi dan pembawaan watak cukup kemas oleh pelakon itu terbukti.

Manja yang dilakonkan oleh Aeril Zafrel juga punya kekuatan tersendiri. Tempoh 13 tahun terpisah jauh daripada kakaknya, Aeril ternyata membawa emosi dan kekuatan tersendiri yang sememangnya mengundang tepukan gemuruh daripada penonton.

Namun, sebenarnya semua mata tertumpu kepada watak Dang Suri, ibu tiri kepada Lela dan Manja. Dijayakan dengan cukup hebat oleh pelakon serba boleh, Nabila Huda, kekejamannya mengundang amarah penonton. Tabik hormat kepada Nabila yang berjaya membawa watak itu dengan cukup sempurna. Tiada langsung cacat yang jelas pada mata kasar. Kebencian penonton dengan watak Dang Suri seakan tidak pernah surut sehingga dia akhirnya dipanah petir di hujung pementasan.

Kemunculan watak seperti Sang Naka (Sahronizam Noor), Megat Sura (Rashdan Baba) dan Raja Muda ( Hafidz Roshdi) juga mempunyai kekuatan masing-masing dan menjadi tunjang kepada kehebatan naskhah ini.

Malah, watak Lela dan Manja ketika kecil yang dijayakan oleh dua pelakon cilik hebat, Izzya Reen dan Wafiy sememangnya cukup berkesan. Kedua-dua pelakon ini benar-benar membawa penonton merasai penderitaan mereka yang didera dengan kejam.

Tidak dilupakan, watak Megat Komeng (Jay Iswazir) dan Panglima Harimau Berantai (Syazwan Zulkifly) yang menjadi tulang belakang kepada kejahatan pihak luar yang mahu meranapkan pemerintahan Raja Muda.

Sekalung tahniah kepada penulis skrip yang diadaptasi oleh Hairul Anuar Harun. Ternyata, kehebatan penulis lirik lagu Cindai yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu masih berbisa. Teater penuh emosi ini telah dipentaskan di Istana Budaya pada 29 Julai sehingga 31 Julai.