Mengambil pendekatan itu,  penyanyi  Ramli Sarip berbesar hati menganjurkan  Konsert Doa Langit dan Bumi  bertujuan  mengutip dana untuk  membantu mangsa banjir di pantai timur termasuk Perlis dan Perak.

Penganjuran konsert ini mendapat kerjasama Kumpulan AmBank dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Idea asal konsert ini dicetuskan oleh  Ramli  dan dia  mengundang  penyanyi  M Nasir,  Hattan,
Awie dan Ella untuk menjayakan  program amal  bagi mengisi Tabung Pascabanjir kelolaan  Kumpulan AmBank.

Menurut Ramli yang juga  Pengarah Urusan Rasamusic Sdn. Bhd., pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 daripada  konsert  yang turut disokong pemuzik seperti Man Kidal, Aji Samin, Tom Anuar, Fauzie Zain, Rozario Rasul, Uda, Paang Zaman dan Boy Razli.

Kata Ramli , setakat ini pihaknya juga telah  hati menerima sumbangan daripada beberapa  syarikat seperti  Marhaen Production, Warisan Sound, Mewah Event dan Gua Orang Lama.

Tiket untuk menyaksikan konsert yang  diadakan pada 22 Februari depan di Dewan Merdeka, PWTC itu dijual pada harga RM153. Pembelian boleh dibuat menerusi www.ilassotickets.com atau menghubungi talian 03-7957-6088.

Selain itu, tiket-tiket juga dijual di Rock Corner, Victoria Music Station, Acoustic Music Station dan PWTC atau menghubungi terus Rasamusic di talian 03-7773-0677 atau 013-2633938.

Bukan konsert me­nye­dih­kan - Ramli Sarip

Mengenai  konsert  tersebut,  Ramli berkata , dia tidak berhasrat untuk membuatkan  persembahan  dalam suasana yang menyedihkan atau hiba hanya kerana tujuan  penganjurannya adalah untuk  membantu mangsa banjir.

“Ada banyak cara untuk kita membantu golongan sasaran ini termasuk dengan doa. Tetapi anugerah yang Allah SWT berikan kepada saya adalah menerusi bakat seni muzik.
“Kekuatan kami mungkin bukan datangnya daripada bisnes tetapi kami yakin dapat membantu orang yang memerlukan menerusi bakat yang kami ada," ujar Ramli.

Bagaimanapun dia  tidak mahu membuat konsert dalam suasana sayu atau sedih. Kalau boleh, biarlah menjadi pembangkit semangat untuk semua orang kerana seni muzik juga mampu mengalirkan sesuatu yang positif dalam kehidupan manusia.
Mengenai  bayaran, kata Ramli, dia tidak mencari keuntungan menerusi konsert tersebut kerana berpegang  pada tujuan asalnya sebagai konsert amal.|

Bahkan kata Ramli, dia  terharu kerana barisan penyanyi  rock lain  tidak menjadikan hal itu sebagai satu isu utama.  Bagi mereka  ini ialah  salah satu cara memperlihatkan  keprihatinan kepada mangsa yang kini melalui waktu sukar pascabanjir.
“Untuk mencari keberkatan  berpanjangan, tak mungkin saya menjadikan soal bayaran dan keuntungan sebagai satu perkara utama. Ini konsert amal. Sebuah projek derma.

“Sebagai penganjur, saya tak boleh mengambil kesempatan dalam kesempatan yang ada. Saya juga percaya, jika niat baik, akhirnya pasti akan diberkati.

“Walaupun  ini sebuah konsert amal,  tidak bermakna kami melakukan persembahan secara sambil lewa. Kami akan buat yang terbaik  dan diharapkan dapat meninggalkan kesan kepada  semua yang menonton,” katanya yang memberitahu inspirasi penganjuran konsert itu datangnya daripada sepotong surah yang menyebut 'Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit hentikanlah daripada curahan hujanmu’ ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Krai, Kelantan untuk menja­yakan misi bantuan  tempoh hari.

Cipta lagu khas - M Nasir

KATA M. Nasir dia tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuannya menjayakan program amal itu.
Sebabnya  dia memahami perasaan mangsa banjir yang terjejas kerana secara peribadi, dia dan keluarganya juga pernah merasai kepayahan itu apabila kediamannya  di Paya Jaras, Selangor pernah  dilanda banjir.

“Walaupun tak teruk tetapi saya pernah alami situasi itu. Tiada siapa yang selesa dengan keadaan tersebut. Jadi saya amat memahami perasaan mereka yang terpaksa berdepan dengan situasi buruk tersebut,” katanya.
Untuk memberi sedikit kelainan dalam konsert itu, kata M Nasir, dia  akan menggubah beberapa buah lagu khas untuk dipersembahkan.

“Mengenai senarai lagu, saya masih belum memilih  lagu yang akan dinyanyikan. Tetapi yang pasti akan ada beberapa lagu khas yang akan saya buat. Tidak pasti sama ada sebuah lagu baharu atau lagu lama yang akan saya gubah semula. Kita lihat  nanti,” katanya.
Dalam pada itu, M Nasir berkata, seseorang artis atau selebriti harus memberi sepenuh jiwa sekiranya mahu terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Artis ini susah sebab kami golongan yang dikenali ramai. Kalau mahu buat, kena benar-benar memberi komitmen. Tak boleh separuh jalan. Nanti orang mengaitkan  kerjaya dan populariti pula.

“Saya belum melihat perkara ini dapat saya lakukan dengan sepenuhnya. Tetapi dengan sumbangan seperti persembahan konsert begini, ini juga adalah salah satu cara untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album baharu.

Hattan prihatin

Hatta  menganggap persetujuannya untuk mengambil bahagian  dalam Konsert Doa Langit dan Bumi sebagai salah satu cara  menyalurkan keprihatinan terhadap mangsa banjir., Hattan yang sebelum ini turut mengikuti misi bantuan di pantai timur berkongsi  pengalamannya  ketika berada di kawasan yang terjejas teruk dalam banjir kali ini.

Menurut Hattan, dia amat terharu  dengan penderitaan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi oleh mangsa banjir di sana. Antara lokasi yang dijejakinya ialah Kemaman, Terengganu dan Temerloh, Pahang.
“Saya pergi bersama-sama isteri dan anak. Saya bawa keluarga untuk sama-sama bergotong-royong membantu yang terdaya termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Ketika membersihkan sebuah kawasan sekolah di sana, saya tersentuh hati melihat anak-anak kecil yang ada di situ  turut bersama-sama mencuci.
“Terdetik di hati, anak-anak kita yang lain kalau musim cuti sekolah, pergi bercuti ke sana sini. Tetapi anak-anak ini, setiap tahun pada waktu itu bukannya bercuti sebaliknya terpaksa berdepan dengan keadaan buruk begini,” katanya.

Menurut Hattan lagi, dia bersama-sama rombongan misi bantuan Kumpulan Ambank turut membawa peralatan membersih kerana bantuan seperti itu lebih berguna berbanding bantuan makanan.
“Selepas banjir, peralatan membersih adalah yang paling diperlukan. Bagaimana nak bersihkan kawasan tanpa peralatan yang sesuai?” katanya.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi serba sedikit perkembangan program Pencarian Gadis Jolobu untuk dijadikan sebagai pelakon utama filem Gadis Jolobu. Katanya, sehingga hari ini pihaknya masih  mencari gadis yang sesuai untuk watak tersebut.
“Bukannya saya tak mahu ambil pelakon sedia ada  tetapi kebanyakannya tidak pandai bercakap loghat Negeri Sembilan.

“Saya nak sesuaikan pelakon itu dengan watak wanita kampung, bertubuh tinggi dan agak matang selain  seorang ibu tunggal dalam filem ini.
“Ada yang datang sesi uji bakat tetapi rata-ratanya mengenakan solekan. Saya tak nak. Saya nak yang punya kecantikan asli tanpa secalit mekap,” katanya yang bekerjasama dengan Q-plex Communication untuk menghasilkan filem ini.

Filem Gadis Jolobu akan diarahkan oleh Dr Anwardi Jamil, anak Allahyarham  Jamil Sulong dan Rosnani Jamil.